Penjaga kambing dijatuhi hukuman gantung

ALOR SETAR – Seorang penjaga kambing dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam setelah didapati bersalah mengedar 39.98 gram dadah jenis Heroin dan Monoactylmorphines pada tahun lalu.

Hakim, Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu setelah didapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Rajaputran Ganisen,22, dituduh melakukan kesalahan itu di Lorong 1, Taman Bayan, Kulim, Kedah pada jam 3.00 pagi, 8 Mei 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19B(2) Akta sama yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Mohd Zaki dalam penghakimannya menyebut, tertuduh diarah memberi keterangan bela diri pada akhir kes pendakwaan dan memilih untuk memberi keterangan dalam kandang tertuduh.

Katanya, pembelaan tertuduh tidak dapat menyangkal dakwaan tersebut dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap dakwaan pemilikan plastik beras jati yang mengandungi dadah berbahaya di dalam sebuah beg berwarna merah.

“Tertuduh mengatakan pada masa dia jatuh dan ditangkap oleh dua orang anggota polis, tidak terdapat plastik beras jati yang dijumpainya. Sebaliknya dadah tersebut telah ditunjukkan oleh seorang lelaki india kepada anggota polis selepas beliau ditangkap dan dibawa ke satu tempat.

“Setelah dipertimbangkan, saya dapati pembelaan tertuduh hanya satu penafian semata-mata iaitu menafikan dadah yang dijumpai tersebut berada dalam beg yang dibawanya di dalam raga sebuah motosikal. Keterangan tertuduh jelas cuba menyanggah keterangan saksi-saksi pendakwaan,” katanya.

Katanya, keterangan pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dan tertuduh didapati bersalah serta disabit kesalahan.

“Dalam kes ini hanya satu hukuman yang diperuntukan di bawah Seksyen ini iaitu hukuman mati mandatori. Bagi melaksanakan hukuman tersebut, tertuduh akan digantung pada leher sehingga mati,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aisyaf Falina Abdullah.


Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan