Remaja hamil 4 bulan jadi pelacur

Gambar Hiasan
ALOR SETAR – Seorang remaja perempuan berumur 20 tahun sanggup menjadi pelacur walaupun disahkan hamil empat bulan.

Dia antara tiga remaja perempuan lain yang berumur antara 17 hingga 22 tahun yang ditahan dalam satu ops noda yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, awal bulan lalu.

Ketua Turus D7 IPK Kedah, Asisten Superintenden, Saari Yaacob berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah tumpangan di Taman Bahagia, di sini setelah mendapat maklumat dari orang ramai.

Katanya, hasil intipan yang dilakukan, mereka (pelacur) akan menunggu seseorang di kaunter tingkat bawah rumah tumpangan tersebut sebelum dibawa ke sebuah bilik.

“Ketika serbuan dilakukan, kita mendapati mereka sedang bermesra bersama tiga lelaki cina berumur 17 tahun hingga 40 tahun dalam keadaan bogel di bilik masing-masing.

“Turut dijumpai beberapa kondom yang sudah digunakan,” katanya kepada Media Wahana di pejabat Turus D7 IPK Kedah, semalam.

Saari berkata, semua yang terlibat ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut.

Katanya, untuk kesalahan ini, mereka yang disyaki sebagai pelacur boleh disiasat dibawah Seksyen 372 (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda serta sebatan.

Bagi kesalahan melanggan pelacur pula, mereka akan disiasat dibawah Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Sementara itu, polis turut menahan dua perempuan cina dan seorang lelaki dalam serbuan ops noda di sebuah hotel di Mergong baru-baru ini.

Saari berkata, serbuan dijalankan berikutan mendapat maklumat orang ramai bahawa terdapat kegiatan pelacuran di lokasi tersebut.

“Semua yang terlibat dibawa ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut,” katanya.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan