Masjid: Kerajaan Negeri digesa hentikan pembohongan

'Hentikan pembohongan, tak perlu minta maaf....' 
POKOK SENA – Kerajaan Negeri Kedah digesa menghentikan dakwaan kononnya pentadbiran dibawah pimpinan Pas telah membina sebanyak 12 buah masjid sepanjang lima tahun memerintah negeri ini.

Jawatankuasa Bendahari Masjid al-Islah, Kampung Nawa,Che Nan Husin, 60, berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian tersebut sehinggakan perkara berkaitan ibadah sanggup dipolitikkan pihak tertentu.


“Saya rasa sedih sebab kerajaan Pas sanggup kata pembinaan masjid ini adalah hasil usaha mereka. Padahal mereka tidak pernah buat apa-apa pun untuk masjid ini. Kami (jawatankuasa masjid) sendiri yang usahakan mohon sedikit peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa lawatan beliau ke masjid ini baru-baru ini untuk membaik pulih masjid ini.

“Tetapi Muhyiddin mencadangkan supaya masjid ini dibina semula dan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.48 juta untuk memberi nafas baru kepada masjid yang telah berusia hampir 45 tahun ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Che Nan berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya mengamalkan sikap sedemikian walaupun tidak mampu membina sebuah masjid di negeri ini, sebaliknya perlu bersikap jujur.

“Kami nak Pas hentikan pembohongan ini. Tidak perlu minta maaf sebab kami sudah tahu apa yang telah dilakukan oleh Pas di negeri ini,” Katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) Masjid al-Islah, Hashim Ayob, 72, berkata, dia berasa amat kecewa dengan tindakan kerajaan Pas yang sanggup membohongi rakyat di negeri ini.
“Kerana nak pengaruhi pengundi, mereka sanggup tipu rakyat. Padahal perkara ini bukan usaha kerajaan negeri, sebaliknya usaha yang diumumkan oleh Kerajaan persekutuan.

“Tapi bila masjid ini hampir siap, kerajaan negeri kata ini usaha mereka pula. Kami rasa terkilan la. Harap kerajaan negeri hentikan pembohongan ini. Buatlah kerja seperti ajaran Islam,” katanya.
Difahamkan Masjid al-Islah yang dibina pada tahun 1968 ini perlu diberi nafas baru kerana sering mengalami kerosakan yang serius dan memerlukan perbelanjaan hampir RM10,000 setiap tahun untuk kerja-kerja membaik pulih.

Sebelum ini, Masjid al-Islah hanya mampu memuatkan jemaah seramai 500 orang pada satu masa, manakala pembinaan masjid terbaru ini pula mampu memuatkan jemaah seramai 1,300 orang pada satu masa.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan