Masjid: Kerajaan negeri tidak pernah beri peruntukan

'Pembohongan cukup jijik...'

SUNGAI PETANI – Kerajaan Negeri Kedah didakwa tidak pernah memberi sebarang peruntukan dan dana kepada Surau Taman Peruda untuk pembinaan masjid baru.

Jawatankuasa Pembinaan dan Dana Masjid Taman Peruda, Ishak Idris, 63, berkata, pihaknya amat berasa sedih dengan kenyataan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kedah menerusi buku ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ yang mendakwa mereka telah membina sebanyak 12 buah masjid di negeri ini.

“Sepanjang tempoh lima tahun ini, tidak ada satu sen pun yang diberikan oleh kerajaan negeri. Yang ada cuma dana pembinaan masjid oleh Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelaran Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) saja,” katanya pada sidang media di kediamannya, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ishak turut mempertikai tujuan utama kerajaan negeri memasukkan pembinaan sebanyak 12 buah masjid di negeri ini dalam buku tersebut.

“Kalau kerajaan negeri tidak buat, apa maksud dia perlu masukkan senarai pembinaan sebanyak 12 buah masjid di negeri ini dalam bukut tersebut. Kalau dia ikhlas, masukkan saja apa yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam bukut tersebut sepanjang lima tahun ini sebagai perbandingan,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pembinaan dan Dana (bahagian teknikal) Masjid Taman Peruda, Romli Ishak, 48, berkata, apa yang diperkatakan oleh kerajaan negeri menerusi buku tersebut adalah satu pemalsuan dan pembohongan.

“Peruntukan pembinaan masjid ini adalah dari Kerajaan Persekutuan. Tidak ada pun peruntukkan daripada kerajaan negeri. Pada saya, ini adalah satu pembohongan yang cukup jijik. Mereka ambil hasil usaha orang lain untuk katakan yang itu adalah hasil mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, pembinaan Masjid Taman Peruda ini mampu memuatkan jemaah seramai 1,500 orang dalam satu masa berbanding perlaksanaan solat Jumaat di surau sementara Taman Peruda yang hanya mampu memuatkan jemaah seramai 600 orang pada satu masa.

Difahamkan, masjid baru yang berkeluasan 7,000 meter persegi ini dibina dengan kos peruntukan sebanyak RM2.8 juta oleh Kerajaan Persekutuan, selain mempunyai pelbagai kemudahan untuk orang ramai, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
  Masjid Taman Peruda ini telah siap sepenuhnya pada 16 Januari lalu dan mula digunakan oleh jemaah bermula pada solat Jumaat baru-baru ini.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan