Bekas exco akan digugurkan?


GEORGETOWN – Spekulasi yang mengatakan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang baharu didakwa tidak mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti.

Difahamkan, bekas exco kerajaan negeri itu juga kemungkinan besar akan digugurkan daripada sebarang jawatan di peringkat kerajaan negeri.

Walaupun pimpinan PKR Pulau Pinang dikatakan menyambut baik pencalonan itu, namun ia didakwa tidak dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti.

Afif merupakan satu-satunya wakil rakyat PKR yang mempunyai kelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan itu kerana mempunyai trak rekod cemerlang.

Sumber terdekat memaklumkan bahawa perkara itu kemungkinan disebabkan oleh hubungan Afif yang begitu mesra dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Krisis dalaman PKR didakwa semakin memuncak apabila wujud dua kem melibatkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin.

Bagaimanapun, Wan Azizah pernah menafikan dakwaan bahawa wujudnya dua kem kepimpinan dalam parti itu.

Jawatan TKM1 Pulau Pinang kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak bertanding di mana-mana kerusi Dun di Pulau Pinang pada PRU14.

Disebabkan kekosongan itu, maka timbul spekulasi mengatakan Afif antara individu yang paling layak menjawat sebagai TKM1 Pulau Pinang yang baharu.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu juga banyak melakukan aktiviti dan program kemasyarakatan di seluruh negeri, khususnya melibatkan portfolio kesihatan dan pembangunan desa.

Kerajinan dan kecemerlangan yang ditonjolkan Afif merupakan antara faktor yang mendorong untuk beliau dilantik mengisi jawatan tersebut.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan