Pas tidak akan tinggalkan PR


ALOR SETAR – Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat menegaskan bahawa parti itu tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Pas tidak akan meninggalkan rakan-rakan seperjuangannya iaitu DAP dan PKR sehingga berjaya menawan Putrayajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya beri jaminan khususnya kepada masyarakat Cina, Pas tidak akan lari. Kita akan terus bersama-sama sehingga berjaya ke Putrajaya.

“Saya yakin, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kedah akan menjadi pemain yang utama untuk memastikan kemenangan pada kali ini.

“Apa yang lebih penting, kita bukan sahaja mahu kekal di negeri Kedah, malah kali ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama rakan-rakan DAP dan PKR, kita mahu sampai ke Putrajaya untuk lakukan perubahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Karnival Gongxi-Gongxi sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2013 anjuran DHPP Kedah, di Jalan Putra, di sini, kelmarin.

Mujahid berkata, rakyat di negeri ini juga harus membuat keputusan yang tepat untuk memastikan perubahan berterusan di negeri Kedah.

“Kita jangan lupa dan mesti buat perubahan. Kali ini kita bukan sahaja mahu mempertahankan negeri Kedah, kita mahu Pas, PKR dan DAP terus jadi kerajaan di negeri ini,” katanya.

End/
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan