Sejarah Islam Di Pulau Pinang


Gambar: Muzium Islam Pulau Pinang
Georgetown-
Pengunjung yang melawat Pulau Mutiara kini berpeluang melihat dengan lebih dekat perkembangan sejarah Islam di negeri ini melalui kewujudan Muzium Islam yang sudah beroperasi sejak 2004 lagi.

Muzium Islam yang terletak di rumah Syed Mohamad Al-Attas itu ditubuhkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia serta Unit Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang.

Bangunan Syed Mohamad Al-Attas dipilih kerana ia pernah didiami pemimpin Islam berketurunan Acheh-Arab itu pada kurun ke-19 sekali gus menyumbang kepada pembangunan agama Islam dan masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

Beliau juga seorang saudagar rempah terkenal dan mempunyai rangkaian perdagangan yang besar pada masa itu dan sebagai seorang saudagar yang mengutamakan perjuangan agama, menyalurkan kekayaannya bagi mengembangkan agama Islam.

Sejak beroperasi pada 6 September 2004 sehingga kini, Muzium Islam Pulau Pinang mendapat perhatian pelbagai masyarakat termasuk pelajar dan pelancong yang meminati kesenian bangunan masa lalu.

Pameran di muzium berkenaan terbahagi kepada beberapa ruang pameran yang menceritakan latar belakang pemilik rumah iaitu Syed Mohamad Al-Attas. Muzium itu mengumpul dan mempamerkan fakta sejarah yang pernah menyumbang kepada kegemilangan Islam di Pulau Pinang.

Antaranya adalah sumbangan tokoh agama terkenal seperti Haji Abdullah Fahim, Haji Ahmad Badawi, Sheikh Omar Basheer Al-Khalilee dan Syed Sheikh Al-Hadi. Pengunjung juga didedahkan kepada faktor perkembangan agama Islam ke Tanah Melayu sehingga ke Pulau Pinang. Sejarah perkahwinan campur masyarakat tempatan dengan pedagang dari Timur Tengah, India dan Kepulauan Nusantara yang mewujudkan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang turut dipamerkan.

Muzium itu turut mengimbau semula kegemilangan Lebuh Acheh sebagai Jeddah Kedua. Sejarah pelayaran jemaah haji di Lebuh Acheh juga dipamerkan termasuk kapal yang memulakan pelayaran dari Pelabuhan Pulau Pinang ke Makkah.

Pameran lain termasuk sumbangan sekolah agama di Pulau Pinang, pengaruh Islam dalam seni bina dan ragam hias, adat perkahwinan, perayaan serta kesenian Melayu di Pulau Pinang.

Pengunjung, Norizan Haroon, 40, berkata, dia kagum pelbagai artifak lama berunsurkan Islam yang dibahagikan pelbagai kategori termasuk pengenalan, Islam dan budaya, tokoh agama, seni bina, ragam hias dan pendidikan agama
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan