Kempen hapus PTPTN tiada sambutan


Jumlah pembayaran balik pinjaman meningkat setiap tahun

Gambar: Ismail (kanan)
ALOR SETAR –Cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)disifatkan tidak mendapat sambutan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kempen parti pembangkang meminta supaya peminjam tidak menjelaskan pinjaman kerana PTPTN akan dihapuskan sekiranya mereka memerintah adalah tidak berasas dan tidak laku.

Katanya, bagaimanapun, pihaknya tetap yakin bahawa PTPTN akan terus mendapat sambutan daripada pelajar dan ibu bapa.

“Sekiranya tidak ada PTPTN, mereka (pelajar) akan menghadapi masalah perbelanjaan sara hidup dan juga membayar yuran terutama sekali masalah di luar bandar.

“Golongan ibu bapa terutama sekali di luar bandar sudah pasti merasai kerisauan sekiranya PTPTN ini dihapuskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat PTPTN Negeri Kedah, di sini, semalam.

Tambahnya, pihaknya tidak nampak kesan daripada kempen yang dilakukan pembangkang kerana apabila kerajaan memberikan insentif-insentif tertentu contohnya rebat antara 10 hingga 20 peratus, jumlah pelajar yang membayar pinjaman semakin meningkat.

“Budaya membayar balik pembiayaan PTPTN telah mula meningkat di kalangan masyakarat. Ianya hasil daripada pelbagai program kesedaran dan tindakan penguatkuasaan serta sokongan padu dari masyarakat.

“Buktinya ialah jumlah kutipan bayaran balik yang sentiasa meningkat setiap tahun. Untuk tahun 2009, PTPTN telah berjaya mengutip sejumlah RM553 juta, 2010 sejumlah RM638 juta, RM737 juta pada tahun 2011 dan RM800.47 juta pada tahun 2012.

“Sehingga 31 Disember 2012, jumlah bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM3.76 bilion yang melibatkan 792,314 peminjam,” katanya.

Mengulas mengenai penubuhan pejabat PTPTN cawangan negeri Kedah, beliau berkata, ia adalah merupakan salah satu inisiatif pemudahcara bertujuan untuk menyalurkan infomasi kepada masyarakat dan memudahkan orang ramai untuk berurusan selaras dengan teras ketujuh pelan strategik pengajian tinggi negara iaitu memperkukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia kepada masyarakat di seluruh negara.

“Pejabat ini telah mula beroperasi pada 25 November 2012 yang lalu dengan lebih 40 orang pegawai yang pastinya akan memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.

“Menjalankan operasi lima hari seminggu iaitu hari Ahad hingga Khamis, saya yakin ianya dapat meletakkan PTPTN dekat di hati,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Krau, Pahang berkata, kini PTPTN telah melebarkan sayap perkhidmatannya dengan penubuhan pejabat PTPTN di seluruh negara selepas bermula dengan pembukaan One Stop Center PTPTN di KL Sentral serta Info Center PTPTN di Sabah dan Sarawak.

“Pada ketika ini, sebanyak 14 pejabat PTPTN negeri telah ditubuhkan dan telah beroperasi untuk memudahkan urusan orang ramai khususnya kepada peminjam PTPTN di seluruh negara,” katanya.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan