IC: Bara gesa JPN siasat kenyataan Tun Mahathir

ALOR SETAR – Badan bertindak Bantah Anugerah Kerakyatan Asing (Bara) menggesa supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah menyiasat kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pemberian kad pengenalan (IC) kepada warga asing secara mudah di tanah air ini.

Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Abdullah berkata, pihaknya mahu Tun Mahathir disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya ekoran dakwaan yang mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman melakukan perkara ‘lebih teruk’ dalam tindakan memberi IC kepada warga asing.

Katanya, kenyataan Tun Mahathir itu secara tidak langsung telah mengiakan dakwaan bahawa sindiket pemberian kerakyaan kepada warga asing memang benar-benar wujud.

“Sebab itu kita buat demonstrasi dihadapan pejabat JPN Kedah dan menyerahkan memorandum kepada Pengarah JPN Kedah, Muhammad Pauzi Abdullah untuk beliau menyatakan pendirian sama ada kenyataan Tun Mahathir adalah bohong dan tiada kaitan dengan JPN ataupun JPN sebenarnya terlibat secara langsung.

“Hasil pertemuan tertutup bersama beliau, kita telah pun memberikan beberapa maklumat penting termasuk sindiket pemberian IC yang aktif di sekitar negeri Kedah.

“Beliau secara lisan turut memberitahu akan memberi kerjasama dengan Bara untuk menyiasat apa yang telah berlaku. Beliau mengakui bahawa tidak tahu langsung mengenai kegiatan tersebut sepanjang khidmatnya di sini,” katanya selepas penyerahan memorandum kepada Pengarah JPN Kedah, di sini, baru-baru ini.

Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket ‘khianat negara’ dengan memberi kerakyatan kepada warga asing juga merupakan salah satu faktor yang menyumpang kepada situasi tidak menentu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

“Sekiranya Naib Presiden PKR, Tian Chua yang mendakwa wujudnya ‘sandiwara’ dalam insiden di Lahad Datu pun boleh dirujuk ke Mahkamah, mengapa tidak Tun Mahathir sendiri didakwa ke muka pengadilan?

“Kedah sejak kebelakangan ini juga turut menyaksikan bahawa lambakan warga asing khususnya Burma telah mula menetap di Pulau Langkawi. Mereka didedahkan memasuki negara ini melalui jalan laut sekitar Bukit Malut dan berkubu di Taman Nilam sehingga mereka disebut-sebut ‘Burma anak Mahathir’ kerana kebal dari penguatkuasaan undang-undang.

“Oleh itu, Bara menggesa supaya JPN dapat menyiasat kenyataan Tun Mahathir dan dakwa beliau di Mahkamah secara telus sekiranya sindiket beri IC kepada warga asing di seluruh Malaysia khususnya di Kedah tidak membabitkan JPN.

“Kita mahu JPN kukuhkan pendirian mereka terhadap kenyataan Tun Mahathir yang mengiakan pemberian IC itu. Setakat ini kita telah buat satu laporan polis di Pulau Pinang dan di Kedah juga kita akan buat satu laporan polis hari ini (semalam).

“Laporan polis ini dibuat supaya pihak berwajib mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada akta tertentu yang boleh mengaitkan kesalahannya berhubung isu ini,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman melakukan perkara ‘lebih teruk’ dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

Menurut laporan itu, Mahathir ketika ditanya pemberita, mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya. Namun beliau mendakwa tindakan berkenaan dijalankan mengikut undang-undang.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan