Tiada projek tanpa melalui sistem: Muhammad Pauzi
ALOR SETAR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah menegaskan akan menyiasat dakwaan berlaku isu pemberian kad pengenalan (IC) kepada warga asing secara mudah di sekitar negeri ini.
Pengarahnya, Muhammad Pauzi Abdullah berkata, sepanjang khidmatnya selama 20 tahun di sini juga tidak pernah berlaku sebarang kegiatan atau aktiviti yang dibuat tanpa melalui sistem-sistem yang ada.
“Saya terima memorandum yang dihantar badan bertindak Bantah Anugerah Kerakyatan Asing (Bara) tadi (semalam). Sebenarnya memorandum itu biasalah, selepas kita terima, kita akan teliti dan kaji tengok sama ada ada itu ataupun tidak.
“Insyaallah sekiranya kalau ada apa-apa isu, kita akan rujuk ibu pejabat di Putrajaya sebab kita baru dapat maklumat bahawa mereka (Bara) akan hantar memorandum tersebut ke semua JPN Negeri.
“Bagi saya, kita akan jawap apa yang kita tahu saja. Yang kita tidak tahu kita nak buat macam mana. Mereka tadi pun ada bangkitkan isu-isu di Bukit Malut dan saya dapati mereka ini memang bekerja mencari bukti-bukti.
“Cumanya ingin saya nyatakan bahawa saya sudah kerja di JPN 20 tahun dan sepanjang 20 tahun itu kami tidak ada program atau projek yang kami buat tanpa melalui sistem yang ada. Itu pengalaman saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Muhammad Pauzi berkata, sekiranya dakwaan itu benar, mereka (Bara) perlu selidiki secara lebih mendalam tidak hanya dengan JPN mungkin ada sindiket-sindiket lain yang tidak tahu.
“Yang penting di sini adalah, kalau betul dia dapat buktikan benda itu benar, saya bagi pihak JPN menegaskan kami tidak pernah buat kerja-kerja yang seperti ini. Maka dia perlu fokus kepada lapangan lain pula untuk mencari bukti pengesahan yang ditemui.
“Disini saya nak katakan juga dakwaan itu belum pasti lagi benar ataupun tidak. Sebab kita belum lihat IC sebenar, dia hanya mendakwa. Dalam konteks IC ini, kalau IC yang tidak betul kita ada macam-macam pendekatan yang boleh semak,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan Bara mengadakan demonstrasi di pekarangan pejabat JPN Kedah semalam, Muhammad Pauzi berkata, perkara itu telah menguris hati semua warga JPN seluruh Malaysia.
“Mereka sebenarnya boleh buat dengan cara yang lebih profesional. Maknanya kalau ada bukti-bukti, bawa ke JPN kita nak lihat betul atau tidak.
“Daripada kita buat tindakan yang mana benda itu mungkin betul, tapi nama JPN telah tercalar. Kita nak baik pulih nama baik JPN ini sudah susah. Saya harap kalau kita nak buat apa-apa tindakan sekalipun, kita buat lah dengan cara cukup profesional,” katanya.
0 Komen :
Catat Ulasan