Promosi

Promosi
Najib Batalkan SBPA Akibat Tekanan?

Kuala Lumpur- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan panik menghadapi tekanan kakitangan awam sehingga membatalkan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dicadangkan sebelum ini.

Demikian kata ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang, Sim Tze Tzin melalui twitternya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan, kerajaan membatalkan rancangan untuk menggunakan SBPA berikutan bantahan kakitangan awam.

Najib berkata, kerajaan akan menggunakan skim yang ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan penambahbaikan.

Najib juga mengumumkan, satu suruhanjaya khas dibentuk bagi mengkaji perkhidmatan awam negara.

Langkah kerajaan untuk menangguhkan SBPA adalah kerana takut reaksi kakitangan awam yang mungkin memberontak dalam pilihan raya akan datang.

Namun dipercayai, ia akan kembali kepada skim ini selepas pilihan raya umum nanti jika Barisan Nasional (BN) kekalkan berkuasa.

"Ha ha ha...tiada keputusan sehinggalah pilihan raya," kata anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam Twitternya mengulas keputusan kerajaan mengenai hal ini.

Namun begitu, dengan pengumuman Najib, jurang gaji antara kakitangan awam akan terus meningkat dengan penyelarasan gaji yang diumumkan Najib.

Ini kerana, perbezaan peratus kenaikan gaji antara kakitangan awam peringkat rendah hanya sedikit sahaja berbanding dengan kakitangan peringkat atasan.

Najib berkata, kumpulan pengurusan dan profesional akan naik 13 peratus, kumpulan Utama dan khas A, B dan C 9 peratus, Turus 3 dan 2 8 peratus manakala Turus 1 dan KSN 7 peratus.

Walaupun peratusan kakitangan bawahan lebih tinggi tetapi oleh kerana gaji mereka hanya kecil sahaja, kenaikan ini rendah sahaja.

Misalnya jika kakitangan awam RM500, dengan kenaikan gaji 13 peratus, mereka akan mendapat kenaikan gaji sebanyak RM65 sahaja.

Namun untuk KSN dan Turus 1, oleh kerana gaji mereka tinggi misalnya RM12,000 sebulan, dengan kenaikan gaji 7 peratus, mereka mendapat kenaikan gaji sebanyak RM840 dalam pelarasan ini.

Kenaikan ini dilihat lebih baik berbanding SBPA yang dikatakan kakitangan paling rendah hanya mendapat kenaikan RM1.70 sahaja berbanding RM8,000 kakitangan paling tinggi.

Bagi Ketua Angkatan Muda PKR, Pakatan Rakyat mempunyai saham dalam perubahan ini kerana hasil desakan merekalah SBPA tidak jadi dilaksanakan.

"SBPA dibatalkan & Sistem Saraan Malaysia (SSM) ditambahbaik. Tentunya hasil desakan PR," katanya dalam Twitter.

Tiada ulasan