Pulau Pinang jamin tiada catuan air

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan tidak akan berlaku catuan air untuk tempoh 10 tahun akan datang sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir negeri ini pada PRU14.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, perkara itu dapat dibuktikan apabila Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak pernah mengenakan catuan air.

“Pada masa yang sama, rakyat Pulau Pinang juga dapat menikmati kadar tarif domestik air terendah di Malaysia dengan kadar bayaran 32 sen setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama.

“Berbanding dengan kadar yang dikenakan di negeri Johor iaitu RM1.32 bagi jumlah yang sama,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, perkara itu merupakan antara pencapaian kerajaan negeri sepanjang tempoh mentadbir Pulau Pinang pada PRU13 lalu.

“Kami telah mencatatkan banyak rekod unik dalam Dun ke-13 iaitu negeri berintegriti dan bersih dengan pengisytiharan aset oleh ahli pentadbiran negeri yang dicerminkan melalui lebihan belanjawan pada setiap tahun.

“Keuntungan terkumpul bagi 10 tahun berturut-turut adalah sebanyak RM719.3 juta, jauh melebihi prestasi 50 tahun di bawah pemerintahan kerajaan lama iaitu sebanyak RM373 juta.

“Kita juga berjaya mengurangkan hutan kerajaan negeri sebanyak 90 peratus dan merupakan negeri yang mempunyai jumlah hutang yang terendah di Malaysia iaitu sebanyak 62.06 juta pada 2017,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri juga berjaya menjadikan Pulau Pinang yang dahulunya dikenali sebagai negeri terkotor di Malaysia atau ‘Pulau Pinang Darul Sampah’ kepada antara bandar raya yang paling bersih di antara negara-negara Asean.

“Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang tidak pernah menebang hutan simpan kekal walaupun seinci dalam tempoh 10 tahun ini, berbanding dengan negeri-negeri lain yang telah menebang 544,011 hektar hutan simpan kekal mereka.

“Kita juga membina 25,555 rumah kos rendah (RM42,000) dan rumah kos sederhana rendah (RM72,500) iaitu lima kali ganda lebih banyak daripada jumlah 5,154 rumah yang dibina oleh kerajaan lama,” katanya.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan