Himpunan motosikal klasik di Kedah


Badrol Hisham (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian ahli PVSNK
 
 
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bercadang untuk melaksanakan himpunan motosikal klasik sebagai acara tahunan yang baharu di negeri ini.
 
Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, perkara itu kerana ia mempunyai suatu nilai unik yang diminati oleh semua lapisan masyarakat.

“Walaupun usia motosikal itu sudah lama, tetapi masih ramai yang meminatinya. Bukan sahaja orang dewasa, tetapi juga golongan muda yang semakin ramai memilikinya.

“Saya melihat aktiviti seperti ini mempunyai faedah tertentu kepada generasi muda selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Vespa Skuter Negeri Kedah (PVSNK) kali ke-20, di Taman Wira Mergong, baru-baru ini.

Menurutnya, antara keunikan program itu nanti adalah mempamerkan motosikal vespa berusia 56 tahun iaitu yang pertama di Malaysia pada tahun 1959.

“Saya akan berbincang dengan pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk mencari lokasi yang sesuai bagi kita laksanakan program ini nanti.

“Pada masa sama, kita juga minta kerjasama Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan program ini sebagai tarikan pelancong luar dan dalam negara,” katanya.

Badrol Hisham berkata, penganjuran program tersebut mungkin dilaksanakan pada hujung tahun ini iaitu ketika musim cuti persekolahan.
 
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan