Kami Tidak Sembah Chin Peng!
“Saya tidak sokong
perjuangan komunis,” kata Naib Pengerusi 1 Interim Dap Kedah, Syed Araniri Syed
Ahmad.
Beliau berkata demikian bagi
menangkis tohmahan beberapa laman blog termasuk laman sosial facebook yang
mengkritik tindakkannya bersama beberapa pimpinan Pas melawat mendiang
Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng di Wat That Thong, Sukhumvit,
Bangkok pada 22 September lalu.
Menurutnya, lawatannya ke Bangkok
adalah bertujuan untuk membuat persiapan bagi menyambut sambutan hari Raya
Aidiladha pada 15 Oktober ini.
Bagaimanapun, pada masa sama, beliau
mengambil kesempatan untuk melihat sendiri bagaimana upacara pengebumian
mendiang Chin Peng dilakukan, sama ada mengikut upacara komunis atau
sebagainya.
“Kami pergi ke Bangkok adalah untuk
mencari komuniti Islam di sana yang nak sertai ibadah korban nanti. Sudah lebih
lima tahun kami melaksanakan ibadah korban di sana. Pada masa sama, kami
mengambil kesempatan untuk singgah melihat mendiang Chin Peng berikutan jarak
lokasi yang sudah dekat.
“Kami pergi melihat mendiang Chin
Peng bukan kerana nak sembah dia. Kita pun tahu tidak akan sembah dia sebab itu
tuntutan agama Islam. Kita cuma nak lihat bagaimana upacara keagamaan mereka
dijalankan. Tidak semestinya kalau melawat kubur firaun itu tanda kita menyokong
firaun,” katanya.
Syed Araniri berkata, kehadirannya
melawat mendiang Chin Peng juga bukanlah sebagai mewakili parti DAP, sebaliknya
hadir atas dasar seorang yang beragama Islam.
“Kami pergi depan keranda dia (Chin
Peng) tidak tunduk atau sembah apa-apa pun. Kami pergi tengok saja. Tidak
semestinya melawat dia adalah tanda kami menyokong komunis,” katanya.
Beliau turut menyarankan kepada
semua pihak yang berkenaan agar dapat menghentikan tohmahan tersebut dan
bersifat terbuka.
“Ini adalah negara demokrasi, kami
tidak sokong Chin Peng. Perjuangan komunis sudah cukup menjadi satu pengajaran
buat rakyat Malaysia,” katanya.
Difahamkan, Syed Araniri melawat
mendiang Chin Peng bersama calon Pas di Dun Sungai Tiang semasa PRU13, Mohd
Fadzil Baharom serta beberapa pimpinan PR dari Pulau Pinang kira-kira jam tujuh
malam.
Sebelum ini, Chin Peng atau nama
sebenarnya Ong Boon Hua, 90, dilaporkan meninggal dunia akibat kanser di sebuah
hospital Bangkok kira-kira jam 6.20 pagi pada 16 September lalu.
0 Komen :
Catat Ulasan