Nasihat Untuk BN: Abdul Hadi
KUALA NERANG – BN dinasihatkan
supaya tidak menyalahgunakan jentera kerajaan dalam persiapan menghadapi Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang berkata, pihaknya mahu BN memperbetulkan konsep demokrasi yang diamalkan
dan perlu bersikap adil.
“Kita (Pas) dah lama tunjukkan
harmoni. Cuma kita dinafikan dalam media. Namun, kita tetap menunjukkan sifat
harmoni itu dan terus memilih demokrasi. Ini adalah sikap gerakan Islam seluruh
dunia yang memilih untuk mengamalkan demokrasi.
“Cumanya kita harap supaya kerajaan
BN memperbetulkan konsep amalan demokrasi selama ini. Demokrasi itu bukan sahaja
pada pilihan raya, termasuk juga kepada media, hak berdemonstrasi dan tidak
menyalahgunakan jentera kerajaan dalam pilihan raya,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian pada
sidang media selepas menziarahi pusara bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan
Abdul Razak di Tanah Perkuburan Muassasah Darul Ulum, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga
Ahli Parlimen Marang, Terengganu turut memperingati pihak lawan supaya tidak
menggunakan politik wang dalam menghadapi PRK Dun Sungai Limau nanti.
Mengulas mengenai penyertaannya di
persidangan antarabangsa yang melibatkan parti-parti Islam di seluruh dunia
baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, antara lainnya membincangkan konflik yang
sedang berlaku di Mesir dan Syria.
“Dalam persidangan itu, parti-parti
Islam membuat keputusan untuk memilih demokrasi secara damai dalam menyelesaikan
masalah rakyat di negara masing-masing. Itu antara pendekatan yang lebih
baik.
“Termasuk juga di Mesir, walaupun
diperlakukan tidak menghormati kemenangan Presidennya, Dr Mohamed Mursi dan
kumpulan Islam, namun kita minta saudara Mesir bersabar dan memilih demokrasi.
Ini adalah langkah untuk tidak mengorbankan nyawa rakyat yang teraniaya,”
katanya.
Beliau berkata, sejajar dengan
keputusan persidangan itu, Pas mengekalkan pendirian untuk mengamalkan demokrasi
dalam negara ini.
“Kita sudah lama amalkan demokrasi
dalam negara ini sekitar 60-an sehingga kita menghadapi cabaran ‘pemuda tahan
lasak’(Umno). Golongan muda hari ini mungkin tidak tahu kejadian itu, tapi kita
tetap sabar dan bangkit menerusi pilihan raya yang diadakan.
“Sehingga hari ini, Pas tidak pernah
hilang dalam persada politik tanah air. Kita akan terus menyertai demokrasi
ini,” katanya.
0 Komen :
Catat Ulasan