Polis cari individu bantu siasatan penyeludupan dadah

 'Meloloskan diri di sebuah perkampungan dekat Jitra'

ALOR SETAR – Polis Kedah berjaya merampas 28.8 kilogram dadah dipercayai Syabu ketika menahan sebuah kenderaan yang kelihatan mencurigakan dipandu oleh seorang lelaki di Kilometer 22 Lebuhraya Utara-Selatan, Kubang Pasu, Selalu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu menyebabkan berlakunya insiden kejar mengejar apabila suspek bertindak melarikan diri selepas pihak polis ingin melakukan pemeriksaan terhadap kereta Proton Wira yang dinaikinya.

Beliau berkata, suspek Lim Kek Kiae, 47, kemudiannya memberhentikan kenderaan di Kilometer 36.1 lebuhraya berkenaan selepas dikejar Unit Peronda Lebuhraya sejauh 14 Kilometer, sebelum meloloskan diri di sebuah perkampungan dekat Jitra.

“Pemeriksaan diruang penyimpanan barang kereta tersebut telah menemui dua beg berwarna hitam mengandungi 28 ketulan dipercayai dadah bernilai RM6.3 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah , di sini.

Abdul Ghafar berkata, nilai rampasan tersebut juga adalah  merupakan nilai rampasan terbesar sepanjang lima tahun lalu di negeri ini.

Dikehendaki
Menurutnya, pihak polis masih mengesan suspek yang berasal dari Gurun untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang lelaki berkenaan boleh menyalurkan maklumat melalui Pegawai Penyiasat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Asisten Superintenden Ishak Ali di talian 019-4742725 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu 04-9172222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tambahnya lagi, suspek yang mempunyai tiga orang anak dan seorang isteri berketurunan Siam itu turut mempunyai rekod jenayah lampau akta rumah judi terbuka sekitar tahun 2009.

“Kita percaya kesemua dadah ini telah dibawa masuk dari negara jiran bertujuan untuk diedarkan di Kuala Lumpur,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

 
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan