PR memohon supaya Perbadanan Stadium-stadium Negeri Kedah dapat
mempertimbangkan kebenaran untuk diadakan Himpunan ‘Blackout 505’ peringkat
negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini, pada 21 Mei
nanti.
Pesuruhjaya
Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya mengharapkan Pengerusinya, Datuk
Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah dapat menimbang semula rayuan
tersebut.
Beliau
berkata, rayuan ini dibuat berikutan kegagalan pihaknya mendapatkan kebenaran
tersebut selepas permohonan kali pertama ditolak tanpa menyatakan sebarang
alasan dan sebab.
“Kita telah
kemukakan surat permohonan kepada pihak stadium untuk diadakan himpunan tersebut
baru-baru ini. Tetapi saya telah mendapat maklumbalas daripada pihak stadium
yang tidak membenarkan untuk kita adakan himpunan, di situ.
“Namun
begitu, pada hari ini, kami akan sampaikan satu surat rayuan kepada Mukhriz
untuk membenarkan pihak PR mengadakan himpunan tersebut seperti yang telah dirancang,”
katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pas di
Kompleks Pas Kedah, Batu 9, Alor Setar, sebentar tadi.
Menurutnya,
Mukhriz juga dinasihatkan supaya mengamalkan demokrasi yang lebih terbuka
seperti mana yang telah dilakukan oleh kerajaan PR sepanjang lima tahun lalu.
“Sewaktu
kita memerintah, kita membenarkan mana-mana pihak pun untuk menggunakan stadium
atau premis yang dimiliki oleh kerajaan walaupun digunakan oleh parti
pembangkang pada ketika itu, iaitu Umno dan BN.
“Saya bukan
mengungkit, tapi ingin saya katakan bahawa amalan ini perlu terus dikekalkan.
Perubahan yang baik dari sudut demokratik dan demokrasinya perlu dikekalkan
supaya dapat diwujudkan suasana yang lebih harmoni dari segi hubungan pelbagai
pihak dalam negara kita,” katanya.
Beliau yang
juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mengharapkan supaya Mukhriz dapat
mempertimbangkan kelulusan itu selewat-lewatnya pada hari ini.
Ditanya sama
ada pihaknya telah mendapat kebenaran atau permit daripada pihak polis, Mahfuz
berkata, pihaknya tiada masalah untuk permohonan tersebut.
“Kita akan
maklumkan kepada pihak Polis. Kalau mereka tidak benarkan kita buat di stadium,
kita minta mereka jawap dengan rasmi,” katanya.
Mahfuz
berkata, program yang dijangka bermula pada jam 9 malam itu turut membariskan
semua ahli Parlimen dan Adun PR Kedah untuk berucap menyatakan pengalaman
mereka melalui proses perjalanan pengurusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
yang didakwa tidak adil, baru-baru ini.
Dalam pada
itu, turut dijadulkan hadir adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan
Presiden Pas, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan
pimpinan-pimpinan PR.
0 Komen :
Catat Ulasan