Pas Perlis jangka fail petisyen beberapa kerusi Dun

'PRU13 banyak kecurangan dan penipuan'
 
KANGAR – Pas Perlis akan mengkaji untuk menfailkan petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di beberapa kawasan Dun di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Perlis, Mohd Anuar Tahir berkata, pihaknya akan adakan perbincangan bersama jawatankuasa negeri pada 26 Mei ini (esok) untuk meneliti perkara tersebut.

Beliau berkata, petisyan itu dibuat kerana pihaknya yakin banyak kecurangan dan penipuan telah berlaku semasa dan sebelum pilihan raya.

“Kita agak terperanjat dengan keputusan disebelah petang itu, kekalahan demi kekalahan. Pada dasarnya, kita akan kaji dan buat petisyen dikerusi-kerusi Dun yang kita kalah kecil misalnya majoriti bawah 1,000 undi.

“Cumanya kita belum tentu lagi kerusi Dun mana yang akan kita buat petisyen sebab ia menelan belanja yang banyak dan perlu ambil masa,” katanya.

Beliau yang juga calon Pas bagi kerusi Dun Santan berkata, pihaknya yakin boleh memenangi petisyen itu kerana mempunyai peguam yang berpengalaman di setiap kawasan Parlimen.

“Contohnya pada PRU12, kita telah menfailkan petisyen di Dun Sanglang kerana didakwa telah berlaku penipuan. Pada awalnya, keputusan itu memihak kepada calon BN dengan majoriti 149 undi.

“Bagaimanapun, hasil kecekapan peguam yang kita ada, akhirnya kerusi Dun Sanglang memihak kepada calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin,” katanya.

Berdasarkan keputusan PRU13, antara kerusi Dun yang mungkin difailkan petisyen oleh Pas Perlis adalah Dun Beseri (majoriti 540 undi), Kayang (majoriti 664 undi), Guar Sanji (majoriti 927 undi) dan Simpang Empat (majoriti 85 undi).

Bagaimanapun, kerusi Dun Santan yang mempunyai majoriti 1,084 undi juga mungkin akan difailkan petisyen tersebut kerana jurang perbezaan undi tidak terlalu ketara berdasarkan syarat-syarat untuk menfailkan petisyen berkenaan.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan