Wanita nyaris maut kereta terkena tembakan polis

'Tuntut ganti rugi dan saman PDRM'

 
ALOR SETAR – Seorang wanita nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya menjadi sasaran seorang anggota polis yang melepaskan tembakan rambang dalam insiden mengejar seorang suspek yang dipercayai penjenayah pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa, Farziaty Ahmad Farid, 40, bersama bapa mertuanya yang dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar di Kuala Perlis nyaris terkena sebutir peluru yang terkena pada bahagian but hadapan sebelah kanan keretanya.

Difahamkan, dua tembakan lagi turut mengenai pada bahagian tayar dan belakang kereta suspek yang melarikan diri dalam insiden tersebut.

Menceritakan detik cemas itu, Farziaty berkata, ketika kejadian, dia melihat seorang anggota polis yang tidak berpakaian uniform sedang berbual dengan seorang lelaki berbangsa Cina di bahu jalan sebelum lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan sebuah kenderaan berwarna hitam.

Menurutnya, akibat kejadian itu, anggota polis berkenaan cuba bertindak mengeluarkan pistol dan melepaskan tiga das tembakan secara rambang kearah kereta suspek dengan harapan untuk menggagalkan tindakan lelaki itu.

Bagaimanapun, salah satu tembakan tersebut tersasar sehingga nyaris terkena pada dirinya yang sedang memandu.

“Kejadian itu betul-betul berlaku dihadapan saya. Secara kebetulan saya dalam perjalanan nak ke pasar bersama bapa mertua. Saya nampak mula-mula mereka berbual. Lepas itu, kereta itu pecut laju dan anggota polis berkenaan mengeluarkan pistol dan terus melepaskan tembakan kearah kereta suspek.

“Itu kawasan orang awam. Ramai orang di situ. Tiba-tiba salah satu tembakan itu terkena pada but hadapan kereta saya. Nasib baik kereta saya tinggi sikit. Kalau kereta yang lebih rendah rasanya memang sudah terkena pada pemandu tersebut,” katanya.

Tambahnya, sejurus tembakan itu terkena pada keretanya, dia segera memberhentikan kenderaan di tengah jalan dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu takut dan terkejut.

“Saya ketar sangat masa itu. Tidak boleh bawa kereta lagi. Sehinggakan orang ramai datang kepada saya bertanyakan keadaan dan suruh bertenang.

“Kira-kira lima belas minit kemudian baru saya boleh tenangkan diri dan bawa kereta ke bahu jalan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Perlis dan dirujuk ke IPD Kangar,” katanya.

Menurutnya, tidak berpuas hati dengan sikap anggota polis berkenaan yang tidak memikirkan keselamatan orang awam, dia berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) diatas kecuaian tersebut.

“Ini bukan perkara main-main. Nasib baik terkena pada bahagian but kereta. Kalau terkena pada saya, siapa nak bertanggungjawab. Peluru ini betul-betul terkena pada bahagian hadapan tempat pemandu. Nyaris terkena saya.

“Saya dan keluarga sudah membuat keputusan untuk mengambil tindakan kepada pihak polis. Kami mahu tuntut ganti rugi dan saman akibat trauma yang dialami kepada PDRM. Sehingga hari ini saya masih ketakutan untuk membawa kereta. Tindakan undang-undang ini hanyalah sebagai pengajaran untuk mereka supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau yang bekerja disalah sebuah firma guaman di sini turut menasihati kepada semua anggota polis supaya mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan sebelum menembak.

“Dia tidak ikut prosedur untuk menembak. Dia tidak bagi amaran pun, terus acu pistol dan tembak,” katanya.

Farziaty turut menzahirkan rasa kesal dan meragui insiden tersebut kerana anggota polis berkenaan tidak berpakaian uniform, datang seorang diri dan tidak menggunakan kenderaan polis.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan