AES bakal dilaksana di Kedah

'Memang akan pasang...'
 
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah dijangka akan melaksanakan sepenuhnya Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri ini selepas berjaya merampas semula pentadbiran negeri Kedah dibawah PR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan AES di negeri ini kerana mahu rakyat mematuhi undang-undang jalan raya.

Beliau berkata, bagaimanapun pelaksanaan itu bergantung kepada persetujuan dan perbincangan yang akan diadakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kelak.

“AES ini bukan untuk membebankan rakyat, sebaliknya kita mahu membudayakan memandu dengan selamat disamping dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini.

“Kalau kempen jalan raya pun tidak ada kesan, maka kita terpaksa guna kaedah ini supaya pemandu dapat mematuhi had laju di jalan raya,” katanya.

Menurutnya lagi, pelaksanaan AES tersebut juga bukanlah bertujuan untuk memerangkap kelajuan pemandu secara tersembunyi, sebaliknya mahu supaya pemandu lebih berhati-hati.

“Kita akan pasang AES ini hanya dikawasan-kawasan yang selalu berlaku kemalangan. Kita tidak menganiaya pengguna, malah kita akan letakkan papan tanda amaran tiga kilometer lebih awal dari kamera tersebut supaya pemandu dapat memperlahankan kenderaan masing-masing,” katanya.

Ditanya bilakah masa yang sesuai untuk memulakan penguatkuasaan AES tersebut di negeri ini, Tajul berkata, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan dan perlukan perbincangan lanjut.

“Kita tidak tahu lagi bila akan pasang di Kedah. Tapi kemungkinan besar memang kita akan pasang,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kedah dibawah pentadbiran PR yang diterajui oleh Pas membuat keputusan untuk menangguh terlebih dahulu pelaksanaan AES di negeri ini kerana didakwa membebankan rakyat.

Penangguhan itu turut dipersetujui oleh tiga negeri lain yang ditadbir oleh PR iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Sungguhpun  begitu, penguatkuasaan AES tersebut tetap dilaksanakan di negeri-negeri yang ditadbir oleh kerajaan BN bertujuan untuk mengurangkan kemalangan maut disamping merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan