Mahfuz sedia debat dengan Mukhriz

'Kalau dakwaan saya palsu, ayuh berdebat'
 
ALOR SETAR – Pas Kedah sedia berdebat secara terbuka bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berhubung dakwaan Himpunan Black505 yang dianjurkan PR sebagai melontarkan fitnah kepada kerajaan BN.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau sedia berbuat demikian bersama Mukhriz tanpa penglibatan individu lain dalam perdebatan tersebut bagi memberi ruang dan peluang untuk Mukhriz mengemukakan bukti dakwaan tersebut.

Beliau berkata, perdebatan ini penting bagi memberi penjelasan sebenar kepada rakyat di negeri ini berhubung situasi dan keadaan yang sedang berlaku.

“Saya tidak mencabar dia (Mukhriz), tapi saya mengalu-alukan dia berdebat dengan saya untuk kemukakan bukti dan sebagainya bahawa himpunan yang kita anjurkan ini adalah himpunan yang bertujuan untuk melontarkan fitnah kepada BN.

“Tunjukkan keberanian dia. Saya berani tegaskan, himpunan ini bukan fitnah. Tapi kalau dakwaan saya ini palsu dan tidak benar, ayuh kita berdebat di satu pentas,” katanya pada Himpunan Black505 di Kompleks Pas Kedah, Batu 9, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya lagi, dakwaan BN mengatakan bahawa himpunan anjuran PR ini bertujuan untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan juga adalah tidak benar.

“Kita tidak timbulkan bibit-bibit kebencian itu. Kita cuma menuntut keputusan pilihan raya yang adil,” katanya.

Sebelum ini, Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan untuk membenarkan sebarang perhimpunan aman di adakan di negeri ini.

Bagaimanapun, pengisian dan kepentingan himpunan itu perlu diteliti supaya ianya tidak menimbulkan rasa benci dikalangan peserta himpunan terhadap kerajaan yang sudah mendapat mandat rakyat sebagai kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau juga khuatir rakyat akan terkeliru dengan tuduhan yang dilontarkan pihak pembangkang melalui himpunan itu dan akan mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan