PKR Perlis gempur kubu kuat Umno, BN



'Umno, BN tak jaga amanah yang diberikan rakyat'

KANGAR – PKR Perlis menegaskan akan mengempur kawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusinya, Tengku Nadzri Tengku Adlin berkata, pihaknya akan cuba menembusi beberapa kawasan yang telah dikenal pasti disekitar ini untuk menyalurkan maklumat sebenar kepada rakyat.

Katanya, perkara ini perlu dilakukan untuk membolehkan rakyat dapat membuat keputusan tepat untuk memilih calon atau parti yang layak mentadbir negeri ini selepas PRU13.

“Saya difahamkan, kebanyakan kawasan yang menjadi kubu kuat Umno dan BN ini hanyalah di kawasan yang mundur dan pendalaman.

“Kawasan-kawasan ini sebenarnya tidak mendapat maklumat yang sebenar seperti tempat-tempat yang telah maju. Sebab itu kawasan ini menjadi kubu kuat mereka.

“Kita akan tempur kubu kuat mereka dan sebarkan maklumat yang sebenar supaya rakyat dapat tahu apa yang telah berlaku di negeri ini sepanjang pemerintahan sejak puluhan tahun lamanya,” katanya kepada Media Wahana.

Menurutnya, berbanding pula negeri atau kawasan yang maju, semua rakyatnya telah menyokong PR.

“Seperti yang kita dapat lihat sekarang, kebanyakan negeri yang maju dari segi pendidikan, ekonomi dan sebagainya telah menyokong PR. Contohnya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Semuanya telah menyokong PR sebab mereka telah didedahkan dengan perkara-perkara yang sebenar.

“Cuma kawasan mundur saja yang masih menjadi kubu kuat Umno dan BN sebab maklumat tidak pernah sampai kepada mereka.

“Ini membuktikan bahawa Umno dan BN tidak boleh ‘cari makan ‘ di tempat-tempat yang maju. Mereka hanya ada di kawasan mundur,”katanya.

Tengku Nadzri turut menegaskan bahawa, rakyat menolak Umno dan BN sebab mereka sudah tidak menjaga amanah yang diberikan rakyat.

“Apa yang boleh saya katakan adalah mereka kini hanya melukut ditepi gantang. Mereka tidak menjaga kepentingan rakyat dengan menaikan harga barang, menggunakan hak rakyat sesuka hati dan sebagainya,” katanya.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan