Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim |
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihak polis akan
bertindak tegas berhubung penyebaran khabar angin berlakunya rusuhan di Sungai
Petani.
Katanya, pihak polis juga telah menerima beberapa laporan polis
yang dibuat individu tertentu dan telah membuat beberapa tangkapan mulai 16
Disember lalu hingga kelmarin di sekitar
Sungai Petani.
“Kita tidak kira siapa yang buat salah. Tidak kira bangsa, umur
dan sebagainya. Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang.
“Setakat ini, kita sudah tahan 36 orang untuk soal siasat dan
masing-masing berumur dalam lingkungan 18 tahun hingga 30 tahun.
“Daripada tangkapan itu, akan ada pertuduhan yang akan kita buat
tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Kedah, di sini, semalam.
Ahmad berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan
mana-mana pihak. Jenayah tetap jenayah dan akan dikenakan tindakan.
“Kecederaan itu ada, memang berlaku kecederaan dan telah pun
mendapat rawatan dari hospital. Kita sentiasa pantau tempat-tempat ini dan akan
tentukan situasi itu dapat dikawal.
“Bila sudah berlaku pergaduhan, suspek ini mereka tidak cam.
Tapi mereka tahu ini mungkin Melayu, ini mungkin India dan kita tahan semua
untuk siasatan.
“Kita tahan mereka, bawa balik ke balai untuk siasatan lanjut
dan dapatkan maklumat-maklumat tentang perkara ini. Kita nak tahu macam mana ia
berlaku, kenapa ia berlaku dan sebagainya.
“Kita tidak akan lepas satu orang pun. Kalau perlu tahan, kita
akan tahan lagi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad turut memberi amaran kepada pengamal media
sosial supaya menghentikan penyebaran berita yang tidak benar.
“Kalau nak beri maklumat, beri maklumat yang tepat supaya
masyarakat tahu apa yang terjadi di Sungai Petani. Jadi kalau kita keluarkan
berita-berita berbentuk sensasi dan provokasi yang tidak betul, ini membuatkan
masyarakat membaca dan saya bimbang berita ini akan diterima pakai.
“Ini boleh menyebabkan masalah yang lebih besar lagi apabila
masyarakat percaya dengan berita macam ini, tentu ada puak-puak atau kaum yang
tidak berpuas hati. Sedangkan berita ini bukannya betul, tidak berlaku pun.
“Saya minta masyarakat khususnya di Sungai Petani jangan dengar
dengan khbar angin itu, dapatkan berita tepat dari pihak polis dan kita ada
semua laporan. Jangan bertindak ikut emosi, semua ini adalah soal keselamatan.
“Kita tidak mahu keadaan yang elok ini dihurukan dengan berita
yang macam ini,” katanya.
0 Komen :
Catat Ulasan