Ahli Pas tidak perlu tinggalkan Pas



Saya nasihatkan ahli Umno sertai Pas: Ahmad Yahaya
 
ALOR SETAR – Pemuda Pas Kedah meminta ahli Pas supaya tidak meninggalkan parti itu sambil menegaskan bahawa parti itu tidak pernah berubah dan menyeleweng daripada prinsip asal memperjuangkan agama Islam.

Ketuanya, Ahmad Yahaya berkata,  selagi mana dasar perlembagaan parti tidak berubah, selagi itu ahli Pas akan kekal dalam Pas.

Katanya, dasar Pas tidak pernah berubah, yang berubah mungkin dari sudut pendekatan, penekanan dan kepimpinan.

“Hari ini kita boleh lihat ahli Pas semakin bertambah dari hari ke hari. Tiba-tiba muncul pula seruan yang meminta supaya ahli Pas meninggalkan Pas. Saya percaya seruan itu berlaku bukan disebabkan Pas yang mundur, tapi disebabkan Pas yang semakin membangun.

“Sekarang ini zaman orang menuju ke dasar-dasar Islam dari segala sudut. Contohnya perbankan Islam dan sebagainya,” katanya kepada Media Wahana semasa diminta mengulas mengenai kenyataan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Jusoh menerusi sebuah laman sesawang yang menasihatkan anggota Pas agar meninggalkan parti itu.
Mengulas kenyataan itu, Ahmad Yahaya turut mempelawa Idris Jusoh agar menyertai parti Pas untuk sama-sama memperjuangkan agama Islam dan tegakkan kebenaran.

“Ahli Pas sangat matang dalam menilai untuk apa jua keadaan dan situasi yang sedang berlaku. Jadi, soal keluar parti dalam Pas tidak perlu berlaku kerana Pas masih dengan perjuangan asalnya.

“Sebaliknya, saya nasihatkan ahli-ahli Umno yang sertai Pas sebab Umno sudah tidak kuat dan akan runtuh. Ia seperti sebuah kapal yang sedang belayar dilanda ombak kuat dan hanya tunggu masa untuk pecah,” katanya.

Terdahulu, sebuah laman sesawang melaporkan, Idris Jusoh menasihatkan anggota Pas yang bermaruah dan mempunyai prinsip supaya meninggalkan parti itu segara, mendakwa Pas sudah tidak lagi relewan sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

Menurut laporan itu, Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Besut berkata, pemimpin Pas kini sudah terlalu banyak menyeleweng daripada prinsip asal perjuangan parti terutamanya sejak bersama dalam pakatan pembangkang yang termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Bukan sahaja telah melakukan banyak ‘kerosakan’ kepada agama sejak dahulu tetapi kini ‘penyakit’ yang dialami oleh Pas semakin parah hingga sanggup mengeluarkan fatwa yang bercanggah dengan agama semata-mata untuk menjaga kepentingan politik,” katanya.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan