Jangan bebankan individu kurang berkemampuan
ALOR SETAR –
Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kedah meminta supaya kerajaan
mengkaiji semula syarat yang ditetapkan kepada golongan belia yang layak
mendapat rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar.
Pengerusinya,
Shaharol Niza Omar berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan syarat tersebut dan
mahu kerajaan mengkaji semula sebelum ia mula dilaksanakan pada 1 Januari
nanti.
Katanya,
kerajaan seharusnya tidak menetapkan syarat dengan menghadkan rebat tersebut kepada
telefon pintar yang berharga maksimum RM500 sahaja.
“Bila
kerajaan janji nak bagi rebat RM200, kerajaan sepatutnya bagi dan tidak perlu menetapkan
apa-apa syarat.
“Sebaliknya,
ia terpulang kepada belia untuk pilih jenis dan harga telefon pintar yang
mereka inginkan dengan penerimaan rebet tersebut.
“Bagi
golongan belia yang berkemampuan ia tidak menjadi satu masalah kepada mereka.
Tetapi bagi golongan belia yang kurang berkemampuan pula, mereka pasti merasai
sedikit bebanan untuk mendapatkan telefon pintar tersebut,” katanya.
Shaharol
berkata, MAYC mahu kerajaan memberi rebat tersebut kepada golongan belia secara
adil tanpa menetapkan apa-apa syarat yang boleh membebankan individu yang
kurang berkemampuan.
“Kita tidak
mahu nanti orang kata kerajaan ‘main tarik tali’ sebab Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) semakin dekat,” katanya.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno,
Khairy Jamaluddin menerusi Twitternya kelmarin yang meminta supaya Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak menghadkan rebat RM200 kepada
telefon pintar berharga RM500 sahaja.
Dalam mesej
berasingan, Khairy menulis bahawa ucapan Bajet 2013 hanya menyebut tentang
pendapatan belia yang layak menerima rebat telefon pintar, bukannya harga
telefon pintar.
Terdahulu,
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perbentangan Bajet 2013 mengumumkan
bahawa, rebat RM200 akan diberi ke atas pembelian telefon pintar 3G untuk belia
berumur 21 hingga 30 tahun, dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah atau
tanpa pendapatan bulanan, daripada peniaga yang dibenarkan bawah Pakej
Komunikasi Belia.
0 Komen :
Catat Ulasan