Lima Penculik Ditahan Polis

Ahmad (dua,kiri) menunjukan barang rampasan
ALOR SETAR – Polis Kedah telah berjaya menahan empat lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Myanmar berketurunan India yang disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun pada 25 September lalu.

Ketuanya, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan di dua lokasi berbeza di Sungai Petani dan Alor Setar pada 28 September lalu.

Katanya, hasil tangkapan itu, polis telah berjaya merampas dua buah telefon bimbit dan wang tunai sejumlah RM349,700 hasil daripada ugutan suspek terhadap keluarga mangsa. Bagaimanapun, suspek telah menggunakan RM300 daripada jumlah wang tebusan yang diterima.

“Dengan tangkapan dan rampasan barang kes yang dibuat dalam kes ini, pihak polis telah berjaya melumpuhkan aktiviti penculikan kumpulan berkenaan dan mangsa telah berjaya dibebaskan.

“Semua suspek kini ditahan reman sehingga 4 Oktober depan dan akan disiasat dibawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperutukan hukuman mati jika disabit kesalahan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Ahmad berkata, pada 26 September lalu, pihak polis telah menerima satu laporan daripada seorang doktor yang mempunyai sebuah klinik pakar di sini berhubung kehilangan anak lelakinya.

“Anak lelakinya dipercayai hilang selepas tamat menghadiri kelas tambahan di sebuah rumah di Kampung Pisang di sini kira-kira jam 10.00 malam.

“Sejam kemudian, bapa mangsa yang berumur 47 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengatakan anaknya berada dalam tangan mereka dan menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.

“Hasil perbincangan keluarga mangsa dan suspek, nilai wang tebusan tersebut telah dikurangkan kepada RM350,000 sebelum membebaskan mangsa,” katanya.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan