Komuniti nelayan diseru jaga sumber perikanan

ALOR SETAR – Jatabatan Perikanan Negeri Kedah menyeru komuniti nelayan untuk sama-sama menjaga sumber perikanan agar tidak dieksploitasi secara tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya, Teo Siong Wan berkata, antara kaedah penangkapan ikan yang tidak dibenarkan adalah seperti penggunaan bom ikan, racun, arus elektrik dan sebagainya.

Katanya, selaras dengan usaha untuk melestarikan sumber perikanan darat di negeri ini, Jabatan Perikanan Negeri Kedah telah melakukan pelbagai usaha antaranya mengadakan aktiviti pelepasan benih ikan dan udang ke sungai-sungai dan tasik-tasik di negeri ini.

“Aktiviti pelepasan benih ikan ini akan dilakukan secara berperingkat bermula pada awal tahun sehingga sekarang dan berterusan.

“Tujuannya adalah untuk menambahkan stok ikan di mana sumbernya semakin berkurangan disebabkan oleh aktiviti-aktiviti penangkapan yang berlebihan dan kekurangan kawalan pengurusan sumber keatasnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pada tahun ini, Jabatan Perikanan Kedah telah melepaskan sebanyak 447,750 ekor benih ikan dan udang yang terdiri daripada spesis Kelah, Jelawat, Baung, Lampan Sungai dan Udang Galah.

“Pelepasan benih itu telah dilakukan di Sungai Muda, Sungai Keriang, Sungai Sintok, Sungai Chegar, Sungai Pendang, Tasik Pedu dan Tasik Muda.

“Dengan cara sebegini adalah diharapkan sumber perikanan dapat dimampankan dan secara langsungnya dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan terutama nelayan-nelayan darat di sekitarnya,” katanya.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan