Wanita ‘berendam’ dalam longkang elak ditahan
SHAH ALAM- Seorang wanita warga asing sanggup ‘berendam’ di dalam sebuah longkang gara-gra tidak mahu ditahan dalam satu operasi yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Selangor di Kampung Delik, Sungai Udang, Klang, Jumaat lalu.
Dalam operasi itu, wanita Kemboja berumur 30 tahun itu sanggup terjun ke dalam longkang setelah melihat kehadiran pihak imigresen sedang membuat pemeriksaan.
Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, wanita itu terus melarikan diri sebelum terjun ke dalam longkang setelah melihat pihak Imigresen ingin menjalankan pemeriksaan di rumahnya.
Othman berkata, wanita itu sanggup ‘berendam’ di dalam longkang selama 15 minit untuk dielak dari tertangkap kira-kira 15 meter dari rumahnya.
“Pihak Imigresen mengambil masa beberapa minit memujuk wanita tersebut untuk menyerah diri sebelum anggota Imigresen membantunya keluar dari longkang itu,” katanya.
Katanya, dalam operasi itu, pihak Imigresen telah menahan 54 orang warga asing yang berumur 4 hingga 48 tahun. Dari jumlah itu, 30 orang lelaki dan 24 orang perempuan.
Operasi selama 4 jam, bermula 11 malam itu melibatkan 30 anggota dari Jabatan Imigresen Selangor telah menahan 30 orang warganegara Indonesia dan 24 orang warganegara Kemboja.
Othman berkata, pihaknya telah membuat pemantauan selama tiga hari setelah mendapat maklumat orang ramai mengenai kehadiran pendatang asing di situ.
Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1995/63 (Pindaan 2002).
0 Komen :
Catat Ulasan