Pulau Pinang bakal terima Ketua Menteri, TKM1 baharu?


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang bakal menerima ketua menteri dan timbalan ketua menteri 1 yang baharu selepas berjaya mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri untuk penggal ketiga.

Perkara itu berbangkit selepas Pakatan Harapan melalui manifestonya mengehadkan jawatan ketua menteri hanya untuk dua penggal.

Berdasarkan manifesto itu, ia bermakna Lim Guan Eng yang telah memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal mungkin tidak akan mempertahankan jawatannya.

Khabar angin menyatakan kemungkinan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu pada minggu hadapan.

Sementara Lim Guan Eng yang telah memenangi kerusi Dun Air Putih dan Parlimen Bagan kemungkinan besar akan dilantik memegang jawatan menteri mahupun timbalan menteri di peringkat kerajaan persekutuan.

Selain itu, Pulau Pinang juga akan menerima timbalan Ketua Menteri 1 yang baharu selepas penyandangnya, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak bertanding di negeri ini pada PRU14.

Spekulasi mengatakan terdapat tiga calon wakil rakyat PKR yang mungkin akan dilantik mengisi kekosongan jawatan tersebut dalam masa terdekat.

Mereka ialah bekas Pengarah Strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; bekas exco kerajaan negeri, Dr Afif Bahardin dan bekas Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

Khabar angin mengatakan Saifuddin mungkin akan dilantik sebagai TKM1 kerana beliau mendapat kepercayaan yang tinggi daripada Lim Guan Eng pada sebelum ini.

Namun keputusan PRU14 yang menyaksikan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan persekutuan memungkinkan beliau akan dilantik memegang jawatan di peringkat kerajaan persekutuan.

Afif pula tidak kurang hebatnya dan mempunyai kelayakan tersendiri serta trak rekod cemerlang untuk memegang jawatan tersebut. Beliau merupakan antara exco yang paling senior mewakili PKR.

Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMK) itu ketika ditemui menyatakan kesediaan untuk menggalas jawatan tersebut sekiranya diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.

“Sama ada jawatan TKM1 itu adalah untuk saya atau sesiapa, terserah kepada kebijaksanaan pimpinan ketua menteri, kepimpinan parti dan Pakatan Harapan.

“Saya lebih suka supaya rakyat sendiri menilai kepimpinan dan hasil kerja saya. Saya tidak mahu mengatakan bahawa saya yang paling layak. Biar kepimpinan parti tentukan.

“Banyak usaha yang telah saya lakukan untuk membawa Pulau Pinang ke satu tahap yang lebih maju ke hadapan. Sebab itu saya memilih tema maju bersama di Seberang Jaya,” katanya.

Selain itu, penampilan semula bekas Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain juga menimbulkan pelbagai persoalan.

Ahli Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang itu juga kemungkinan boleh dilantik sebagai TKM1 kerana mempunyai personaliti yang tegas dan berpengalaman.

Walau bagaimanapun, spekulasi kuat mengatakan bahawa kerajaan Pulau Pinang kemungkinan besar akan menampilkan gandingan Kon Yeow dan Afif sebagai ketua menteri dan timbalan ketua menteri 1 yang baharu.

Manakala Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Profesor P Ramasamy mungkin dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 Komen :

  1. Kita sokong YAB Dr Afif,jadi TKM 1.Seberang Jaya lebih Maju lag giveaway YAB Dr.Arid.

    BalasPadam