Kedah bina rumah sementara di Manek Urai

Kerajaan Kedah akan menyegerakan pembinaan rumah panjang sementara di Kampung Karangan, Manek Urai bagi menempatkan 53 keluarga mangsa banjir yang kehilangan kediaman dalam bencana itu baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah telah diarah mengetuai pembinaan rumah panjang sementara itu yang dianggarkan bernilai RM100,000.

"Ada rumah di kampung itu rosak teruk dan ada yang musnah terus. Saya rasakan seolah-olah kena tsunami sama seperti di Aceh. Kita rasa terpanggil membina rumah itu secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata rumah panjang sementara itu akan dibina di sebuah kawasan tinggi manakala kerja-kerja pembinaan akan dilakukan secara gotong-royong membabitkan sukarelawan Kedah dan masyarakat tempatan.

Mukhriz berkata, tanah yang bakal menempatkan rumah panjang sementara itu kepunyaan persendirian dan pemiliknya telah memberi persetujuan bagi pembinaan rumah mangsa banjir itu.

Kampung berkenaan adalah antara kampung terjejas teruk di Kelantan apabila 53 daripada 105 buah rumah dihanyut banjir dalam kejadian 23 Dis lepas.

Sementara itu, beliau berkata Unit Perancang Ekonomi (UPEN) pusat telah meluluskan peruntukan RM26.5 juta kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar di tiga kawasan di Kedah.

Beliau berkata, ketiga-tiga projek yang akan memanfaatkan 28,903 penduduk itu bakal bermula tidak lama lagi dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

"Diharap pelaksanaan projek ini kelak akan dapat mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi penduduk setempat, dan sistem bekalan air khususnya di kawasan luar bandar yang terlibat, dapat dipertingkatkan," katanya.

Projek pertama, kata beliau melibatkan pemasangan paip utama dari Kolam Imbangan Kuala Nerang (1) ke Tangki Sedutan Padang Kerasak bernilai RM10 juta dan bakal memberi manfaat kepada 20,000 penduduk.

Projek kedua bernilai RM5 juta pula, katanya membabitkan pembinaan tangki sedutan dan rumah pam di Kampung Tengah yang dijangka memanfaatkan 1,209 penduduk tempatan.

Mukhriz berkata projek ketiga melibatkan usaha menaik taraf sistem agihan ke sempadan (Gulau dan Belantek) menelan belanja RM16 juta dan memberi faedah kepada 7,694 penduduk.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan