Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pembinaan rumah mampu milik adalah tanggungjawab bersama dan sebagai ketua pentadbiran negeri, kerajaan DAP Pulau Pinang seharusnya membina rumah mampu milik untuk semua rakyat.
"Jangan asyik mengharapkan kerajaan pusat melalui Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membina rumah mampu milik. Kerajaan DAP Pulau Pinang sering bertanya (rumah mampu milik) bagi mencari salah PR1MA tetapi apa usaha mereka?," katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Musa turut mencabar kerajaan negeri untuk menunjukkan rumah mampu milik yang telah siap dibina kerajaan negeri sepanjang hampir tujuh tahun mentadbir Pulau Pinang.
"Sebelum mempersoalkan komitmen kerajaan pusat melalui PR1MA mengenai rumah mampu milik, sila tanya kepada diri sendiri, apa usaha anda (kerajaan negeri) untuk bina rumah mampu milik di Pulau Pinang. Jangan hanya pandai mencari kesalahan orang," katanya.
Sementara itu Exco Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo pada sidang media hari ini mempersoalkan komitmen PR1MA serta janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina rumah mampu milik di Pulau Pinang.
Jagdeep berkata pihaknya masih menunggu permohonan projek pembinaan rumah mampu milik daripada PR1MA.
"Kerajaan negeri belum menerima sebarang maklumat lengkap berhubung pelaksanaan pembinaan rumah mampu milik di tiga lokasi yang diumumkan kerajaan pusat pada 2012.
"Kami menyedari rancangan kerajaan pusat melalui PR1MA untuk rakyat Pulau Pinang tetapi sehingga hari ini, kerajaan negeri tidak menerima apa-apa permohonan daripada PR1MA. Kami ingin tahu bila projek PR1MA akan dilaksanakan selepas hampir dua tahun pengumumannya," kata Jagdeep.
Beliau berkata kerajaan negeri ada menghantar surat kepada kerajaan persekutuan berhubung perkara itu, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan bahawa projek itu masih dalam perancangan.
0 Komen :
Catat Ulasan