Pas lancar 'Geng Reformasi'

Sebar Maklumat Guna Kaedah WhatsApp

GUAR CHEMPEDAK – Pas Kedah melancarkan ‘Geng Reformasi’ sebagai usaha menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai PR.

Difahamkan, gerakan ini hanya bergerak melalui aplikasi telefon WhatsApp untuk menyebarkan maklumat.

Bagaimanapun, selepas melihat sambutan yang begitu menggalakkan daripada golongan muda, satu resolusi telah dibuat untuk menjadikan ia sebuah gerakan rasmi PR.

Presiden Geng Reformasi, Mohd Badlishah Mat Jaafar berkata, pendekatan itu dibuat sebagai memudahkan penyokong PR untuk memaklumkan sebarang aktiviti ceramah agama, politik dan sebagainya di kawasan-kawasan tertentu dengan lebih cepat.

“Saya yakin dengan penggunaan aplikasi ini kita dapat mempercepatkan lagi penyampaian maklumat kepada orang ramai berbanding kebergantungan kepada poster semata-mata.

“Permohonan penyertaan sebagai ahli juga amat ramai, tetapi kita terpaksa hadkan kepada 50 orang sahaja. Selepas ini kita akan fikirkan cara bagaimana untuk mengembangkan lagi gerakan ini supaya lebih ramai dapat menyertainya,” katanya pada sidang media.

Majlis yang berlangsung di Sekolah Integrasi Faizin, Guar Chempedak itu telah dirasmikan oleh Ketua Pembangkang Dun, Datuk Ir Amiruddin Hamzah. Turut hadir, Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahaya.

Amiruddin berkata, pendekatan dakwah ala moden itu dilihat mampu menarik lebih ramai golongan  muda untuk menyertai PR, khususnya Pas.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pelancaran ‘Geng Reformasi’ itu bukanlah bertujuan sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, tetapi ia telah wujud semasa PRU13 lagi.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa gerakan ini secara tidak langsung akan membantu persiapan PRK Dun Sungai Limau.

“Pada saya, ini satu usaha yang baik dalam menyampaikan maklumat. Secara tidak langsung, ia dapat menimbulkan kesedaran politik dan agama supaya masyarakat selesa dengan mod santai,” katanya.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan