Perjuangan Pas tidak pernah berubah
Negara berkebajikan untuk dekati masyarakat
ALOR SETAR – Pemuda Pas Kedah menegaskan bahawa perjuangan parti itu masih mengikut landasan yang telah ditetapkan sejak penubuhannya walaupun bekerjasama dengan Dap dan PKR.
Ketuanya, Ahmad Yahaya berkata, Pas tidak pernah berubah daripada matlamat asalnya untuk memperjuangkan negara Islam, sebaliknya menggunakan negara berkebajikan sebagai pendekatan untuk mendekati masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Kalau mereka (Umno) sebut Pas ‘sesat’ kerana dilihat perubahan dari segi negara Islam kepada negara berkebajikan, itu tidak betul. Sebenarnya, negara berkebajikan hanyalah tafsiran dan huraian kepada negara Islam yang kita perjuangkan.
“Sebab kalau sebelum ini kita sebut negara Islam, tafsiran yang diberikan oleh BN adalah untuk menghukum, potong tangan dan bunuh orang. Jadi ia menyebabkan kita dijauhi oleh masyarakat. Maka sekarang ini adalah cara kita untuk memberi penjelasan yang lebih mendalam kepada masyarakat apa yang dimaksudkan dengan negara Islam melalui negara berkebajikan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya hukum Islam diwujudkan, hukum tersebut bukanlah untuk menghukum mana-mana individu tanpa usul periksa, sebaliknya ingin menjaga kemesratan sesama rakyat.
“Perjuangan Pas menjadi dasar yang tidak pernah berubah. Sekiranya Pas berganjak daripada Islam, maka akan hilanglah identiti Pas itu,” katanya.
0 Komen :
Catat Ulasan