Ku Azmi menunjukkan kawasan aktiviti pembalakan |
ALOR SETAR –
Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menolak
projek penebangan hutan di Kedah seperti yang didakwa oleh media arus perdana baru-baru ini.
Pengarahnya,
Ku Azmi Ku Aman berkata, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan tidak setuju
dengan projek penebangan hutan di Kedah sebaliknya hanya menolak sekiranya
pembangunan di tanah tersebut.
Katanya,
pihaknya hanya tidak bersetuju sekiranya kawasan tersebut dibangunkan ladang
atau projek-projek lain, bukan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Pembalakan
bukan satu isu yang besar kerana perkara ini sudah diluluskan oleh pihak kita
termasuk juga exco kerajaan negeri. Ia meliputi secara menyeluruh dan bukan
tertumpu hanya pada satu tempat.
“Ia juga sebenarnya
tidak akan merosakan kawasan perhutanan dan tidak akan mengakibatkan banjir,”
katanya.
Ku Azmi
turut menegaskan bahawa, ia bukan salah Kerajaan Negeri Kedah sekiranya berlaku
sebarang ancaman bencana alam, sebaliknya salah pemaju kerana tidak patuhi
arahan yang digariskan.
“Memang ada
kebenaran yang diberikan oleh Exco kerajaan negeri. Dalam hal ini kerajaan
negeri tidak salah, mereka hanya meluluskan projek.
“Kalau ada
pihak yang nak menyaman, saman pemaju sebab mereka tidak ikut garis panduan.
Ini semua hanya agenda pihak tertentu untuk memutar belitkan berita sebab
Pilihan Raya Umum (PRU) kian hampir. Mereka saja buat isu.
“Kenapa
harus salahkan kerajaan negeri sahaja dengan projek penebangan hutan. Kalau nak
cari isu projek penebangan hutan banyak lagi ada contohnya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda),
Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan sebagainya.
Kenapa tidak kepada mereka,” katanya.
Terdahulu
sebuah akhbar harian melaporkan, Kerajaan Pas Kedah tetap meneruskan projek
penebangan hutan di negeri itu walaupun rancangan tersebut ditolak oleh Jabatan
Perhutanan negeri.
Laporan itu
menyebut, menurut Ku Azmi, pendirian itu dinyatakan Jabatan Perhutanan Kedah
semasa mesyuarat bersama Exco kerajaan negeri ketika rancangan pembangunan
tanah di kawasan tadahan air di Pedu ingin dilaksanakan kerana jabatan tersebut
bertindak sebagai penasihat.
0 Komen :
Catat Ulasan