Promosi

Promosi
Mara komited jadikan IPMa lebih berdaya saing


Gambar : Juha (empat,kiri) bergambar kenangan bersama sebahagian kakitangan Mara, Pengetua kolej Mara dan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)sempena majlis jamuan Aidilfitri Pejabat Mara Kedah, semalam.

ALOR SETAR – Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara) komited dalam menjadikan institusi pengajian dibawah kumpulan Mara lebih berdaya saing terutama dalam bidang keusahawanan.

Pengarah Mara Kedah, Juha Ali berkata, sempena dengan pertukaran beliau sebagai Pengarah Mara Kedah pada 3 September lalu, beliau berhasrat agar semua kakitangan dapat bekerja dalam satu tujuan untuk membangunkan usahawan global yang berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan matlamat program keusahawanan Mara.

Katanya, bagi merialisasikan impian tersebut, Mara akan mengadakan program pembudayaan keusahawanan kepada Institusi Pengajian Mara (IPMa) dengan tujuan dapat melahirkan usahawan berjaya di masa hadapan.

“Mara juga meminta kerjasama daripada seluruh IPMa agar dapat membekalkan sekurang-kurangnya 60 orang pelajar di setiap institusi di Kedah.

“Bagaimanapun, perlaksanaan program tersebut belum dipastikan tarikh dan masa yang sesuai namun kita menjangkakan akan dilaksanakan pada tahun ini juga,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan dan perbincangan bersama semua kakitangan Mara di setiap daerah, Pengetua kolej Mara dan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (Mara) sempena majlis jamuan Aidilfitri Pejabat Mara Kedah, di sini, semalam.

Juha berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah demi memartabatkan program keusahawanan Kedah serta bergiat lebih aktif melibatkan orang melayu agar lebih berdaya saing dan kompetitif.

“Dalam tahun ini sahaja, Mara telah memperuntukan RM27.9 juta kepada 302 orang usahawan dan kontraktor melayu Kedah bagi membiayai kewangan mereka dalam urusan kerjaya.

“Peruntukan tersebut sebenarnya telah melebihi sasaran sebelum ini dimana hanya mensasarkan sebanyak RM20 juta sahaja,” katanya.

Gambar: Fauzi

Sementara itu, Pegawai Latihan dan Kerjaya Mara Kedah, Fauzi Md Fadzil berkata, wang pendahuluan untuk membantu pembayaran pengajian anak-anak memasuki Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) masih boleh dimohon dan permohonan tersebut tidak pernah ditutup.

Fauzi berkata, sehingga bulan Julai tahun ini, sebanyak RM758,000 daripada RM1.5 juta telah diberikan kepada 452 orang pelajar yang memohon wang pendahuluan untuk urusan pendaftaran pengajian di IPTS.

Katanya, tawaran wang pendahuluan ini hanya dibenarkan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di mana-mana IPTS dan IPMa kecuali Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Semua orang boleh membuat permohonan ini dengan syarat gaji minimum ibu dan bapa adalah tidak melebihi RM4,000 dan mempunyai surat tawaran pengajian yang sah,” katanya.

Tiada ulasan