50 Konvoi amal sempena Ramadan


Gambar :Ahli keluarga Superbike Carring Group serta SYMC bergambar kenangan sebelum berkonvoi

SEBERANG JAYA – Sebanyak 50 buah motosikal berkuasa tinggi dari Superbike Carring Group telah adakan konvoi amal untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk di Pengkalan Ulu, Baling, Kedah, semalam.

Perjalanan lebih 60 kilometer dari perkarangan restoran Macdonal, Seberang Jaya ke perkampungan Pengkalan Ulu, Baling adalah untuk memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada penduduk di situ agar dapat meringankan bebanan mereka sempena menyambut bulan Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Wong Kia Fatt, 55, berkata, walaupun berlainan bangsa, mereka tetap tidak melupakan golongan yang memerlukan bantuan.

Katanya, pemberian sumbangan berbentuk beras 15kilogram (kg), pakaian, kasut, makanan ringan dan sebagainya adalah bertujuan untuk meringankan bebanan mereka yang kurang berkemampuan.

“Walaupun sumbangan yang diberikan tidak begitu banyak, namun diharapkan ia dapat membantu menceriakan mereka untuk menyambut bulan puasa dan hari raya pada tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Wong berkata, mereka bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada penduduk di situ, malah turut adakan perkara sama kepada penduduk di perkampungan orang asli di Baling, Kedah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusinya, Loh Yih Wah, 45, berkata, hasil kutipan setiap bulan daripada ahli kelab sebanyak RM10 seorang turut disalurkan kepada penduduk di perkampungan Pengkalan Ulu.

Yih berkata, hasil kutipan sebanyak RM3,200 sebulan akan diagihkan sebanyak RM35 kepada setiap keluarga di situ.

Katanya, mereka bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, sebaliknya turut memberi sumbangan kepada keluarga yang ditimpa musibah.

“Kelab juga tidak melupakan pemberian sumbangan kepada anggota pasukan Bomba dan Penyelamat sukarela di Sungai Petani, Kedah yang maut dan cedera akibat kemalangan baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya, rumah anak yatim turut tidak dilupakan kerana kelab sentiasa membuat pemerhatian untuk memastikan keadaan mereka sentiasa terbela.

Katanya, kelab akan membantu rumah anak yatim yang tidak di bantu oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri dari segi keadaan rumahnya, keselamatan, kemudahan dan sebagainya terutama di kawasan utara.

Kelab Sanyang Motor (SYMC) turut tidak ketinggalan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk di Pengkalan Ulu serta perkampungan orang asli.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan