Suami Isteri Edar Dadah Ditahan


Gambar: Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak (dua dari kanan) menunjukan dadah yang dirampas, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja selepas sepasang suami isteri dan dua lelaki ditahan dalam dua serbuan di Sentul Pasar, Sentul, Selasa lalu.

Dalam serbuan itu, polis menemui ganja seberat 12.8 kilogram (kg), bernilai hampir RM60,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, dalam serbuan pertama, suami isteri berumur 31 dan 24 tahun serta seorang krew produksi, ditahan di sebuah rumah pangsa, kira-kira jam 5.45 petang.

“Pemeriksaan di dalam rumah menemui sembilan ketulan mampat besar dan dua ketulan mampat kecil dadah jenis ganja serta wang tunai berjumlah RM1,245, dipercayai wang hasil jualan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, hasil soal siasat, polis telah menahan seorang lelaki berumur 32 tahun dipercayai seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, di rumah pangsa yang sama, kira-kira jam tujuh malam.

“Ketika serbuan, polis menemui empat ketulan mampat daun-daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 4kg dan sebungkus ketulan kecil kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 150 gram.

“Hasil pemeriksaan turut menjumpai dua unit baju kalis peluru dan wang tunai berjumlah RM 15,000,”katanya.

Saringan awal ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai kelmarin hingga 19 Jun.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki berumur 22 tahun yang memandu kereta jenis Myvi di kawasan lorong Raja Laut, Kampung Baru kerana disyaki memiliki dadah.

Pemeriksaan di dalam kereta menemui dua bungkus plastik lut sinar mengandungi ketulan berwarna hijau disyaki dadah jenis heroin seberat 936 gram.

Saringan ujian air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis morfin. Suspek ditahan reman sehingga 20 Jun depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan