Promosi

Promosi
Jangan lupa ‘road show’ Umno perkecil Raja-Raja

SUNGEI PETANI, 14 Okt: Tidak mustahil Umno Barisan Nasional (BN) mencari jalan muslihat dan penipuan bagi memastikan kuasa yang ada tidak hilang.

Ini termasuklah penipuan dalam undi pos, sepertimana yang dibangkitkan acap kali.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata demikian ketika menyampaikan ceramah beliau di Kampung Berapit, Tikam Batu, Sungei Petani, malam tadi.

Menurut beliau lagi, BN menyedari undi popular yang berjaya diraih mereka di Semenanjung hanyalah sebanyak 46 peratus jika dibandingkan dengan Pakatan Rakyat (PR) yang mendapat sokongan sebanyak 52 peratus.

"Berdasarkan kepada kenyataan ini, BN terpaksa melakukan apa jua tindakan bagi memastikan kemenangan mereka berulang. Isu rasis dan agama akan menjadi topik penting untuk dipermainkan bagi meraih sokongan.

"Kita jangan lupa pada fakta dan sejarah 1993, di mana Umno membuat 'road show' dengan memperkecilkan kedudukan Raja-Raja. Begitu juga dengan fakta sejarah yang menyatakan Dr Burhanuddin Al Helmy adalah pejuang.

"Mat Indera yang mereka nafikan perjuangan beliau juga adalah antara fakta sejarah yang harus menjadi sandaran dan pemerhatian rakyat. Sejarah tidak harus dilupakan bagi membuktikan kebenaran, " ujarnya lagi.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut menyampaikan sumbangan skim kafalah sebanyak RM500 setiap waris keluarga warga emas yang meninggal dunia di negeri Kedah.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard serta kepimpinan PAS kawasan Sungei Petani.

Harakahdaily-

Tiada ulasan