Demak Perkenal 2 Model 'Scrambler'

PROMOSI...barisan model motosikal lasak keluaran Demak di Karnival Gegaria Harian Metro di Ipoh, Perak, semalam.
Gambar: Sebahagian model motosikal lasak keluaran Demak.

DNC Asiatic Holding Sdn Bhd, pembuat motosikal Demak di negara ini bakal memperkenalkan dua model ‘scrambler’ ke pasaran menjelang akhir tahun ini bagi memenuhi kehendak peminat segmen motosikal lasak yang semakin meningkat.

Dua model berkuasa 200cc dan 250cc yang dijangka dipasarkan pada harga sekitar RM8,000 dan RM9,000 itu melengkapkan rangkaian variasi sedia ada iaitu DMX-R dan DTM 150 masing-masing berkuasa 150cc.

Pengurus Besar Kumpulannya, Lim Boo Hiong berkata, berbanding kategori motosikalnya yang lain termasuk moped, kapcai, skuter dan ‘street bike’, segmen motosikal lasaknya menyumbang kira-kira 30 peratus kepada pendapatan syarikat.

Beliau berkata, pihaknya menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat motosikal berkenaan selain turut disokong harga yang lebih murah berbanding pesaing lain.

“Harga dua model iaitu DMX-R dan DTM 150 kini dipasarkan pada harga sekitar RM6,000 iaitu 30 peratus jauh lebih murah berbanding jenama lain.

“Harga yang berpatutan mungkin antara penyumbang utama kepada peningkatan jualan motosikal berkenaan selain kemasan reka bentuk dan memenuhi jiwa golongan muda dan dewasa,” katanya.

Boo Hiong berkata, buat masa ini, pihaknya menduduki tangga keempat jenama motosikal di pasaran tempatan dengan penguasaan enam peratus pasaran.

Katanya, pihaknya turut meletakkan sasaran untuk meningkatkan penguasaan pasaran sehingga 10 peratus dalam tempoh dua tahun disokong kehadiran lebih banyak model.

Demak yang juga penaja platinum bagi KGHM2011 turut memeriahkan karnival itu dengan mempromosikan 10 model rangkaian model motosikal untuk tontotan penduduk bandaraya Ipoh.

Pengunjung juga berpeluang memandu uji motosikal model baru Demak yang turut dipamerkan di karnival itu.

Pendekatan turun padang di KGHM2011 adalah antara siri jelajah yang diperkenalkan Demak bagi memperluaskan aspek pengiklanan promosinya.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan