Beri peluang Mohd Sabu jelaskan - Anwar

PERMATANG PAUH, 2 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sepatutnya diberi ruang untuk menerangkan keadaan sebenar terlebih dahulu sebelum dikecam tanpa usul periksa oleh media arus perdana, dalam isu membabitkan dakwaan membela komunis dalam peristiwa Bukit Kepong.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bercakap kepada media selepas menerima kunjungan hormat Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas ke majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kubang Semang, Penanti, Permatang Pauh, petang semalam.

Menurut beliau lagi, media arus perdana tidak langsung memberi peluang kepada Mohamad untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Mereka bersama pimpinan Umno terus menyerang Mohamad Sabu tanpa diberi ruang untuk membela diri di atas dakwaan yang dimainkan oleh media milik mereka.

"Serangan demi serangan ini seolah-olah tidak langsung memberi keadilan kepada Mohamad, kerana beliau bukan saja ditekan tanpa diberi peluang, tetapi diasak bertubi-tubi tanpa ruang.

"Mekanisme yang digunakan oleh media milik pemerintah ini, adalah antara agenda dan serangan yang diaplikasikan menjelang pilihan raya umum yang akan datang," ujarnya yang juga Ketua Umum PKR.

Beliau juga berkata, isu ini sengaja dimainkan oleh media milik Umno sebagai usaha memberi imej buruk kepada masyarakat dengan memberi label yang menyimpang kepada pimpinan Pakatan Rakyat.

"Sepatutnya Mohamad diberi ruang untuk membela diri dan bukannya dikecam sebegitu rupa oleh media arus perdana milik Umno sekiranya benar-benar mereka adalah media yang adil dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat negara ini," tegasnya lagi.

Harakahdaily-

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan