Kelab SFT Bantu Polis P.Pinang Cegah Jenayah


MASA DAN KETIKA TIDAK MENJADI PERSOALAN

Georgetown-

Demi untuk memastikan masyarakat sentiasa bersama pihak polis membanteras jenayah, inisiatif diambil oleh Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang, Supt Wan Aziz Wan Hussin bersama-sama dengan kelab motosikal Sanyang Motosikal (SYM) Fans Team (SFT) untuk mengedarkan risalah dan penerangan kepada orang ramai.

Bermula seawal jam 7 petang, program bertemu masyarakat digerakkan bersama dengan ahli kelab SFT mengeliling pulau bermula dari Jelutong, Padang Kota, Teluk Bahang dan berakhir di Queensbay berdekatan dengan kawasan pantai.

Pelepasan konvoi kelab SFT dan Polis Trafik Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Pengurus MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Pallmon Neoh Kok Boon dengan mengibarkan bendera Malaysia dan bendera SYM sebagai simbolik bermulanya konvoi.

Wan Aziz ketika ditemui berkata, program mendekati masyarakat dengan mengedarkan risalah penerangan boleh membantu mereka memahami situasi sebenar apa yang dimaksudkan dengan jenayah yang sering menjadi masalah pada masa kini.

"Walaupun terpaksa bergerak pada waktu malam, ia tidak menjadi halangan, kerana bagi pihak polis masa dan ketika tidak menjadi persoalan. Yang penting ialah masyarakat dapat memberi kerjasama bagi membanteras kegiatan jenayah yang dilihat sebagai satu ancaman kepada kehidupan masyarakat.

"Melalui pendekatan yang dilakukan secara bersantai bersama-sama dengan kelab motosikal, ia dilihat lebih mesra dan memberi keselesaan kepada masyarakat dari majlis formal yang pernah diadakan sebelum ini." Katanya.

Tambah beliau lagi, program ini juga menjadi sebahagian dari gerak kerja kemasyarakatan yang sering diadakan oleh kelab motosikal milik MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang berpusat di Bukit Mertajam.

Selain mengedarkan risalah kepada orang yang lalu lalang di kawasan pantai, penerangan secara mesra dan santai turut diberikan kepada setiap individu dan kumpulan yang ditemui bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Pallmon Neoh Kok Boon (Gambar atas dua dari kanan) ketika ditemui berkata, ini merupakan aktiviti pertama kelab permotoran SYM mengadakan konvoi pada waktu malam bersama Ketua Polis Trafik Pulau Pinang.

“Kita akan terus adakan aktiviti bersejarah seperti ini pada masa akan datang bagi membantu pihak polis membanteras jenayah di sekitar kawasan Pulau Pinang.

“Selain membatu pihak Polis membanteras jenayah, ia secara tidak langsung turut membantu syarikat untuk mempromosi motosikal SYM kepada orang ramai.

“Walaupun SYM masih baru di Malaysia, ia merupakan syarikat pertama yang berani menanggung risiko sekiranya motosikal mengalami kerosakan di jalan raya ketika berkonvoi.” Jelasnya.

Asrul Effendi, Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Media kelab SFT ketika ditemui menjelaskan bahawa, ini merupakan kali pertama kelab SFT mengadakan aktiviti konvoi pada waktu malam.

“Pengalaman yang amat bermakna ini tidak akan sesekali kami (ahli-ahli SFT) lupakan kerana ia pengalaman pertama kami berkonvoi pada waktu malam. Sungguh seronok jika dilihat pada waktu malam motosikal skuter berkuasa tinggi kelab SFT dihiasi dengan lampu-lampu dan bunyi siren yang memukau padangan orang ramai.

“Sebanyak 42 motosikal SYM yang terdiri daripada VTS200 dan Evo250 turut serta dalam aktiviti konvoi bersama Polis kali ini.” Katanya.

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan