Promosi

Promosi
PRN Sarawak Tidak Sekat Pakatan ke Putrajaya



BAYAN LEPAS-

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kekalahan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, tidak menyekat kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mencapai hasrat bagi menggagalkan kuasa pemerintahan BN ke Putrajaya.

Sebaliknya, kekalahan itu menjadi satu pendorong semangat untuk terus berjuang bagi memastikan keseluruhan keputusan sebenar mandat rakyat di Semenanjung, akan berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Jadikan kekalahan dalam PRN Sarawak itu, sebagai satu laluan yang penuh ranjau untuk mencapai hasrat murni menjejak kejayaan yang sedang menanti bersama seribu satu halangan dan tribulasi dari BN," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ceramah isu semasa anjuran JKKK Permatang Damar Laut di Kampung Permatang Tepi Laut, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau yang juga ahli Parlimen Marang menjelaskan PAS tidak perlu merasuah rakyat untuk mendapat sokongan atau mandat bagi memerintah negara, sepertimana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kuasa mereka.

Katanya lagi, selama 20 tahun PAS memerintah Kelantan, tiada juga laporan terhadap kegiatan rasuah atau penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Begitu juga dengan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu semasa ianya ditadbir oleh PAS semasa saya menjadi Menteri Besarnya. Tiada juga rasuah yang kita amalkan bagi mengekalkan kepimpinan dalam kerajaan negeri.

"Selama empat tahun kita memerintah di Terengganu dahulu, rasuah, skandal dan penyalahgunaan kuasa tidak menjadi amalan. Tetapi di Sarawak yang ditadbir oleh BN rasuah berleluasa sehinggalah menjelangnya pilihan raya negeri.

"Ini membuktikan dengan jelas bahawa, pemerintahan rasuah adalah pemerintahan yang diminati oleh mereka yang menyokong kepimpinan BN. Oleh kerana itu apabila berleluasanya ketirisan dalam pendapatan negeri dan negara, kepimpinan inilah yang harus dipersalahkan, tetapi ia sebaliknya berlaku di Sarawak, " tegasnya lagi.

harakahdaily-

Tiada ulasan