Pelajar Kolej PTPL Kesal Polis Dakwa Laporan Palsu
"DUA RAKAN SAYA SAKSI KEJADIAN ITU" - P.ELANGO
Sebahagian besar pelajar Kolej PTPL, Sungai Petani melahirkan rasa kesal mereka kerana pihak polis mendakwa laporan polis yang dibuat adalah palsu.
P.Elango, salah seorang pelajar yang menjadi mangsa kejadian samun membabitkan senjata parang ketika beliau bersama dua lagi rakan kolej melalui lokasi kejadian kesal dengan tindakan pihak polis.
Menurut beliau lagi dalam kejadian pada 16 Ogos yang lalu beg sandang yang mengandungi laporan projek yang perlu dihantar kepada pensyarah telah disamun oleh penjenayah.
"Kejadian berlaku pada jam 3.40 petang selepas pulang dari kelas.Saya bersama dua lagi rakan menggunakan lorong berhampiran kolej untuk ke kedai makan.
"Semasa melalui lorong berkenaan, sebuah kereta Wira berwarna hitam melintasi kami dari arah yang sama.Ia berhenti di hadapan dan semasa kami sedang melintasi kereta berkenaan, pemandunya membuka pintu kereta dan menarik beg sandang saya.
"Saya melawan, tetapi pemandu berkenaan dalam usia 20an mengugut untuk mengeluarkan parang.Takut dicederakan saya membiarkan beg tersebut dibawa lari oleh peragut tersebut."katanya ketika ditemui.
Apa yang dikesalkan oleh pelajar tersebut apabila pihak polis mendakwa laporan yang dibuat adalah palsu.
Elango juga mendakwa dua rakan bersamanya adalah saksi dalam kejadian tersebut.Malah dalam kejadian terbaru seorang pelajar perempuan turut disamun dalam modus operandi yang sama.
Yang terbaru semalam rumah sewa pelajar perempuan Kolej PTPL di Taman Intan berdekatan dengan pusat pengajian tersebut sekali lagi cuba dicerobohi melalui bumbung rumah.
Kejadian ragut dan samun yang berleluasa disekitar kawasan tersebut menjadikan ratusan pelajar yang sedang menuntut disitu berasa trauma dan takut untuk terus mengikuti pengajian pada masa yang akan datang.
Mereka juga berharap pihak pengurusan kolej memberi perhatian serius terhadap nasib ratusan pelajar yang mengharapkan pembelaan dari pihak bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan mereka terjamin.
0 Komen :
Catat Ulasan