India Muslim Bantu Hasnah


indiamuslim.net.my’ jejaki rumah Hasnah

Bayan Lepas, Pulau Pinang-


Hidup dengan mengharapkan anak tunggal yang menjadi nelayan di Telok Tempoyak, Bayan Lepas, Pulau Pinang adalah bagaikan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang bagi Hasnah Ayob.

Beliau yang telah kehilangan suami Saad Ishak, sejak 10 tahun lalu hanya mengharapkan anak tunggalnya, Mahadzir Saad, 28, yang mewarisi tugas ayahnya sebagai nelayan.

Dalam kesunyian yang mencengkam sanubari apabila anaknya terpaksa keluar seawal tengah malam untuk mencari ikan di laut. Hasnah hanya mendoakan keselamatan anaknya sepanjang berada di lautan.

Namun begitu sebagai keluarga nelayan, tugas yang diwarisi oleh anaknya sejak berusia 10 tahun lagi turun ke laut bukan suatu perkara yang baru.

Bagi menghiasi kesunyian yang dialami oleh beliau, Hasnah turun mengambil upah menjaga dua orang anak jirannya setiap hari bagi menampung kehidupan seharian.

"Dengan adanya pendapatan dari mengambil upah menjaga anak jiran ini, bolehlah digunakan untuk menampung kehidupan seharian.

"Sebagai nelayan anak mak cik bergantung kepada air laut dan cuaca. Adakalanya sehingga seminggu beliau tidak dapat turun ke laut apabila lautan bergelora dan angin kencang." jelas Hasnah lagi.

Sebagai amalan jariah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai oleh remaja muslim yang mahu dikenali sebagai ‘indiamuslim.net.my’ telah menjejaki rumah Hasnah pada baru-baru ini.

Dengan keringat dari remaja seusia 13 tahun sehinggalah 25 tahun, mereka bertungkus lumus memberi sinar keceriaan baru bagi warga emas ini.

Seawal 9 pagi lori yang membawa barangan seperti sofa, almari, cat, berus, paku, mesin pemotong rumput dan pelbagai lagi peralatan sampai ke perkarangan rumah Hasnah.

Yang menariknya setiap anggota dibekalkan dengan pakaian seragam berwarna hitam. Mereka ini juga adalah pelajar sekolah dan juga aktivis masyarakat yang turut bergiat aktif dalam pelbagai program.

Menurut Pengarah Program, Diauddin Mohamed Ali, sebanyak RM1000 dikumpul dikalangan ahli bagi membantu menyediakan segala persiapan untuk menceriakan sambutan Aildilfitri bagi keluarga Hasnah.

"Kami akan menemui jawatankuasa penduduk kampung ini terlebih dahulu bagi mendapatkan senarai mereka yang dirasakan perlu diberikan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban mereka."

Manakala Setiausaha Program, Latifah Varshay Ibrahim pula berkata, “program Jejak Asnaf ini adalah lain daripada yang lain kerana mereka tidak menumpukan kepada sumbangan. Sebaliknya keutaamaan yang diberikan ialah bagi menceriakan kehidupan individu atau organisasi yang telah dikenal pasti.”


"Dengan program sebegini ia lebih memanfaatkan penerima apabila sehari suntuk aktiviti dilakukan bagi menceriakan keadaan rumah dan kehidupan penerima."

Juadah berbuka puasa turut disediakan oleh kumpulan remaja ini bagi memberi peluang kepada Hasnah sekeluarga merasai makanan lazat dan berkhasiat yang jarang dikecapi oleh beliau.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan