Dun Pulau Pinang bubar Selasa


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) berkuat kuasa 10 April 2018 bagi membolehkan PRU14 diadakan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata demikian pada satu sidang media khas di Auditorium A, Komtar, di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan pembubaran Dun itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

 “Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah membubarkan Parlimen pada 7 April 2018 dan beliau telah menghantar surat kepada saya untuk meminta pembubaran Dun dijalankan supaya pilihan raya umum untuk parlimen dan negeri boleh dijalankan serentak.

“Bagi menyahut saranan itu, saya telah menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Seri Mutiara berkaitan dengan pembubaran Dun Pulau Pinang.

“Saya bersyukur Tun Abdul Rahman telah perkenan untuk membubarkan Dun Pulau Pinang berkuat kuasa pada 10 April 2018,” katanya.

Guan Eng berkata, beliau telah membuat syor yang serupa dalam mesyuarat exco dan telah meluluskannya sebulat suara.

“Surat pembubaran akan dihantar kepada Speaker Dun Pulau Pinang (Datuk Law Choo Kiang) oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Datuk Seri Farizan Darus) pada hari ini,” katanya.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan