Harga beras tidak naik



ALOR SETAR
- Kerajaan menegaskan tidak akan menaikan harga beras seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 2 September lalu berikutan beras adalah barangan kawalan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharum berkata, harga beras tidak akan dinaikan buat waktu terdekat ini walaupun masih mengimport bekalan beras dari negara luar.

“Kita akan kawal harga beras ini supaya tidak berlaku kenaikan harga,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis hari raya Jabatan Persekutuan Negeri Kedah di Kompleks Mahkamah Syariah, semalam.

Johari berkata, walaupun Kedah dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpin oleh Pas, Kedah tetap sebuah negeri pertanian.

“Kita amat mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat meluluskan lebih banyak peruntukan dalam Bajet 2013 khusus untuk projek-projek pertanian, perairan, benih padi dan nelayan,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan harga beras dijangka naik berikutan bekalan beras negara tidak mencukupi sejak sekian lama.

Menurut laporan itu, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Zaini Ahmad berkata, bekalan beras negara tidak mencukupi dan terpaksa mengimport bekalan beras daripada negara jiran sebanyak 30 peratus bagi menampung permintaan rakyat yang terlalu tinggi.

Katanya, negara tidak mempunyai bekalan beras yang mencukupi berikutan kebanyakan kawasan padi telah dijadikan kawasan perumahan serta perkilangan.

“Apabila hasil padi bertambah, kita akan mempunyai bekalan beras yang mencukupi untuk menampung permintaan rakyat yang terlalu tinggi dan tidak perlu mengimport beras dari negara jiran,” katanya.


Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan