Rumah Azmin diganggu lagi, polis masih siasat

Oleh: NURUL RIDUAN NOR ASHAHA & MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI

Rumah Azmin diganggu lagi, polis masih siasat
Gambar: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali

SHAH ALAM - Rumah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali di Ampang, sekali lagi diganggu sekumpulan pemuda bermotosikal yang turut berarak dan didakwa mengeluarkan kata-kata kesat, hari ini.

Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Azmin yang merupakan Ahli Parlimen Gombak, berada di Kota Kinabalu, Sabah, atas urusan parti.

Hanya isteri, Shamsidar Tahrin dan anak-anaknya berada di rumah.

Azmin berkata, isterinya memaklumkan sekumpulan pemuda bermotosikal berkumpul di hadapan rumahnya dan membuat bising.

“Mereka berlegar di jalan utama dan meletakkan motosikal berhampiran rumah saya. Mereka membuat bising dan berarak sehingga ke hadapan pagar rumah.

“Kata-kata kesat juga dilaungkan oleh kumpulan pemuda itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, kumpulan pemuda itu berhimpun hampir 15 minit sebelum bersurai. Polis juga datang selepas dimaklumkan berhubung kejadian itu.

“Polis hadir dengan pantas. Saya hargai dan percaya polis akan meningkatkan kawalan di kawasan perumahan kami,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau meluahkan rasa kesal dengan kejadian tersebut kerana gangguan itu turut menyebabkan keselamatan dan ketenteraman jiran terancam.

“Jika mereka ingin berkumpul...pergi ke tempat awam, bukannya berkumpul di kawasan milik persendirian,” katanya.

Kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku di mana, pada mulanya sekumpulan lelaki bermotosikal membuat gangguan di hadapan rumah Azmin, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Kurang daripada 20 jam, satu lagi kumpulan pemuda didakwa belia Ampang berkumpul di hadapan rumahnya.

Dua kejadian itu dipercayai berlaku kerana mereka mahu Azmin menjawab dakwaan memiliki harta yang lebih ketika menjawat jawatan penjawat awam dan penyebaran gambar aksi lucah didakwa miripnya.

Dalam pada itu, polis berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu-individu yang didakwa membuat gangguan tiga hari berturut-turut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, setakat ini kejadian itu masih dalam siasatan.

“Kita belum merekodkan keterangan Azmin dan isterinya bagi membantu siasatan.

“Masih terlalu awal untuk mengaitkan penglibatan parti politik dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan