Terowong Dasar Laut Gurney-Bagan Ajam


Georgetown-

Kerajaan Pulau Pinang memerlukan sokongan daripada kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan pendekatan yang diterjemahkan sebagai strategi teras dan strategi jangka masa panjang bagi mencapai hasrat menjadikan negeri ini bertaraf antarabangsa.


Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas berkata, strategi jangka masa panjang dirancang untuk pelaksanaan sehingga 2030 yang meliputi dua wawasan atau visi iaitu menangani isu kesesakan lalu lintas dan menambah baik sistem pengangkutan awam.


"Anggaran kos bagi pelaksanaan wawasan ini adalah RM13.5 bilion, walau bagaimanapun wawasan ini memerlukan sokongan daripada kerajaan pusat," katanya ketika berucap merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.


Turut hadir pada majlis perasmian itu isteri beliau, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng.


Abdul Rahman berkata, bagi mengatasi kesesakan lalu lintas, kerajaan negeri bercadang membina empat lebuh raya utama yang akan dilaksanakan secara penswastaan melibatkan kos antara RM5 bilion dan RM8 bilion.


Katanya, empat lebuh raya itu ialah pembinaan terowong dasar laut menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam, pembinaan terowong dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bandar Air Itam, projek Lingkaran Dalaman Georgetown dan projek jalan berkembar Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.


Beliau berkata, pertambahan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menyebabkan pertambahan bilangan pelancong ke negeri ini selama dua tahun berturut-turut.


"Penambahan bilangan penerbangan oleh syarikat penerbangan akan merancakkan kemasukan pelawat asing," katanya.


Katanya, sokongan kerajaan Persekutuan juga dapat dilihat menerusi usaha peningkatan tahap kemahiran modal insan serta mewujudkan hab pendidikan cemerlang khususnya di Balik Pulau.


"Pembangunan pendidikan begitu penting bagi melahirkan modal insan terlatih agar dapat bersaing di pentas antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan