Sukan Sea: Thailand Takut Malaysia?


Gambar: kapten Malaysia, Baddrol Bakhtiar (kanan) diasak pemain Singapura, Mohammad Zulfahmi, kelmarin.

“JANGAN takut kepada Thailand.” Demikian nasihat ringkas tetapi penuh bermakna dilontarkan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal (gambar) kepada anak buah Ong Kim Swee yang akan turun pada perlawanan kedua saingan Sukan Sea bertemu skuad Gajah Putih itu, hari ini.

Bagi pengendali yang pernah membawa skuad negara meraih pingat emas di Laos, dua tahun lalu, tiada apa yang perlu digeruni apabila bertemu Thailand kerana bagi beliau, lawan skuad bawah 23 tahun negara itu juga pasti turut bimbang apabila bertemu Malaysia.

“Buat apa kita perlu takut dengan mereka kerana saya rasa Thailand juga takut dengan kita.

“Yang penting setiap pemain perlu berfikiran positif sepanjang permainan dan jangan fikir perkara yang bukan-bukan, itu saja,” tegasnya.

Apa yang diperkatakan Rajagobal itu wajar diambil kira skuad negara kerana beliau pernah mengharungi situasi sama apabila berjaya membimbing anak buahnya menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dua tahun lalu sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.

Meskipun skuad negara mempamerkan aksi hambar pada perlawanan pertama ketika bertemu Singapura kelmarin, Rajagobal percaya peluang masih terbuka luas untuk anak buah Kim Swee meneruskan saingan pada temasya kali ini sekali gus mempertahankan kilauan emas yang berjaya dilakukan anak buahnya dua tahun lalu.

“Saya percaya pemain sudah tahu apa yang patut mereka lakukan dan percaya kepada diri sendiri. Tinggal lagi seperti saya katakan tadi, mereka perlu berfikiran positif, ini penting,” katanya.

Rajagobal juga mahu pemain negara melupakan perlawanan pertama menentang Singapura kelmarin kerana ia hanya akan menjejaskan rentak permainan mereka ketika bertemu Thailand.

“Perlawanan pertama itu sudah berlalu. Sekarang mereka perlu mengharungi satu persatu halangan terlebih dulu. Usah fikirkan perkara yang masih jauh,” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, skuad negara yang diketuai Baddrol Bakhtiar mempamerkan aksi tidak seperti diharapkan apabila sekadar seri 0-0 menentang Singapura dalam saingan Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno.
Share on Google Plus

About Media Wahana

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 Komen :

Catat Ulasan