Promosi

Promosi
Akta Kerja Bukti BN Tidak Bela Pekerja

BUKIT MERTAJAM, 4 Nov: Pindaan Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan pada 6 Oktober yang lalu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sedang memerintah negara lemah dan tidak memberi perhatian yang sewajarnya untuk membela nasib pekerja.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap dalam majlis ceramah perdana di Dataran Rakyat, Taman Guar Perahu, Penanti, malam tadi.

Menurut beliau lagi, akta yang diluluskan membuktikan nasib pekerja tidak dibela. Mereka akan dilabelkan sebagai pekerja kontrak yang tidak mempunyai perlindungan keselamatan serta masa depan.

"Kewujudan kontraktor akan menjadi lambakan baru kronisme yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan BN. Ini adalah antara unsur memperbodohkan rakyat. Ia juga merupakan suatu sistem yang menghala ke arah eksploitasi tenaga kerja.

"Pindaan ini juga adalah pindaan yang tidak bertanggungjawab. Walaupun rakyat membuat bantahan, mereka masih tetap berdegil untuk mempertahankan projek terancang yang memperlekehkan pekerja dan tenaga kerja dalam negara," ujarnya yang juga Ketua Pembangkang.

Jelasnya lagi, sekiranya rakyat tidak menolak kerajaan sedia ada dalam PRU yang akan datang, tidak mustahil banyak lagi rencana bermotifkan kronisme dan penyelewengan sepertimana yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara akan menjadi amalan.

"Jika mahu negara dan rakyat selama, perubahan perlu dibuat dengan menolak BN dalam PRU 13 yang akan datang," tegasnya lagi.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan pimpinan PR Pulau Pinang.

Harakahdaily-

Tiada ulasan